KLHC muncul juara kejohanan Hoki Piala Tan Sri P. Alagendra
Bernama
Januari 7, 2018 04:36 MYT
Januari 7, 2018 04:36 MYT
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memulakan musim 2018 dengan langkah kanan apabila muncul juara kejohanan hoki Piala Tan Sri P. Alagendra selepas menewaskan juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
KLHC di bawah bimbingan ketua jurulatih Lim Chiow Chuan, bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah apabila ketinggalan 0-2 seawal minit ke-11, sebelum bangkit mendahului 3-2, namun THT berjaya menyamakan kedudukan untuk mengheret permainan ke penentuan pukulan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa perlawanan sebenar.
Dua gol awal THT hadir menerusi dua pukulan sudut penalti oleh pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-10 diikuti jaringan Manraj Singh Sarjit Singh, seminit kemudian.
Tersentak dengan dua gol awal itu, KLHC bangkit memperkemaskan permainan apabila pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun menyumbat gol pertama melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-16 diikuti gol penyamaan oleh Mohd Syamim Mohd Yusof, tujuh minit kemudian menjadikan kedudukan terikat 2-2.
KLHC kemudian menggandakan asakan sebelum berjaya meledak gol ketiga hasil jaringan padang pemain import dari Australia, Joshua Pollard pada minit ke-34, namun THT menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Peillat ketika permainan berbaki tujuh minit.
Pada penentuan pukulan penalti, tiga pukulan yang gagal disempurnakan THT, masing-masing oleh Manraj Singh dan gandingan adik-beradik Faizal dan Mohd Fitri Saari, memberikan kemenangan pertama dalam tempoh tiga tahun buat KLHC.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Chiow Chuan menyifatkan ia suatu kejayaan manis dan memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekalkan fokus untuk kembali bangkit mendahului seterusnya memenangi perlawanan menerusi penentuan pukulan penalti.
"Tentunya kejayaan ini sesuatu yang amat manis bagi kami terutama selepas kami berjaya menempuhi satu perlawanan yang sukar.
"Kita dibolosi dua gol yang saya kira sebagai gol mudah pada awal permainan tetapi pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka tidak cemas dan memainkan peranan serta tanggungjawab mengikut strategi dirancang," katanya.
KLHC dan THT, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 sementara Peillat yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menerima RM1,000.
-- BERNAMA
#Argentina
#Australia
#Bukit Jalil
#hoki
#Kelab Hoki Kuala Lumpur
#KLHC
#Korea
#Korea Selatan
#Kuala Lumpur
#Piala Tan Sri P Alagendra