KLFA nafi tunggakan gaji empat bulan KL City

Bernama
Februari 23, 2024 22:24 MYT
Khalid berkata Liga-M musim 2023/2024 yang hanya akan bermula Mei depan, dalam masa sama memberi ruang bagi membantu KL City daripada segi kewangan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menafikan pihaknya dibelenggu masalah tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan Kuala Lumpur City FC (KL City), yang didakwa berlarutan sehingga empat bulan.
Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata jumlah tunggakan sebenar hanya untuk tempoh dua bulan, iaitu Oktober dan November pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022/2023 yang lepas susulan perubahan jadual perlawanan liga.
Menjelaskan situasi diharungi KL City, beliau berkata semasa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pihaknya meluluskan peruntukan RM10 juta melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat skuad warga kota, namun ia berkurangan kepada RM5 juta pada tahun 2020 hingga kini.
"Secara keseluruhan, kita dapat RM8 juta jadi sekarang kita kekurangan RM2 juta lagi untuk membayar gaji pada tahun lepas.
"Justeru kita kena tampung sedikit untuk Disember dan akan adakan rundingan dengan pemain, kerana perkara itu di luar kontrak," katanya dalam sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Khalid optimis perkara itu dapat selesaikan sebelum tarikh dinyatakan dalam surat Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selepas pertemuan diadakan bersama pihak DBKL selaku penaja utama KL City dalam masa terdekat.
Beliau berkata Liga-M musim 2023/2024 yang hanya akan bermula Mei depan, dalam masa sama memberi ruang bagi membantu KL City daripada segi kewangan.
"Kos operasi gaji bagi pemain jauh berkurangan, kerana sebahagian besar pemain belum lagi kita tandatangani kontrak.
"Justeru ia memberikan kita sedikit ruang untuk bernafas dan mencari RM2 juta yang kita kurang itu, bagi menampung tunggakan gaji dua bulan terbabit," katanya.
Khalid dalam masa sama berkata KLFA turut mempertimbang untuk menjual kelab Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) memandangkan ketetapan MFL tidak boleh ada dua pasukan mewakili Kuala Lumpur pada saingan Liga Super musim ini.
-- BERNAMA
#KLFA #KL City #tunggakan gaji #DBKL
;