KLBA harap dapat lampu hijau DBKL guna venue baharu

Bernama
November 4, 2023 17:45 MYT
Jahaberdeen (kanan) bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan Presiden Persatuan Badminton Guangdong, Deng Zaoqiang di Stadium Titiwangsa hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berharap untuk memperoleh lampu hijau bagi menggunakan Arena Badminton DBKL Cheras yang baru dibina, menjelang awal tahun depan, kata Presiden Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Badminton Guangdong dari China di Stadium Titiwangsa hari ini, Jahaberdeen berkata pihaknya masih dalam perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk mendapatkan hak penggunaan arena berkenaan.
Arena Badminton DBKL itu, dibina dan kosnya ditanggung sepenuhnya oleh pemaju swasta sebagai menggantikan Stadium Badminton Kuala Lumpur, yang telah dirobohkan pada 2017 bagi pembinaan projek kondominium mewah.
Jahaberdeen berkata KLBA, DBKL dan pemaju terlibat telah mengadakan perbincangan sebelum pembangunan di kawasan itu dibuat, dengan pemaju bersetuju untuk membayar sejumlah wang setiap bulan kepada persatuan sebagai pampasan, sehingga venue baharu siap.
"Tujuan pampasan itu (diberikan) supaya kami boleh gunakan wang itu untuk perbelanjaan dan cari tempat untuk berlatih dan sebagainya. Jadi sekarang akademi itu dah siap, kami tidak mendapat pampasan itu...cabaran yang kami hadapi, empat bulan kami berdikari, cari duit sendiri.
"Saya rasa DBKL juga prihatin terhadap permasalahan yang kami hadapi dan insya-Allah kami dapat selesaikan perbincangan dan dapat kebenaran menggunakannya dalam masa dua bulan, supaya lebih banyak program pembangunan dapat dijalankan," katanya.
Menurut laporan media, pihak pemaju telah menyerahkan Arena Badminton itu yang dibina dengan kos RM20 juta kepada DBKL pada Julai.
Sementara itu, Jaharbedeen berkata MoU dua tahun bersama Presiden Guangdong BA Deng Zaoqiang sempena kejohanan KL Masters itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk pertukaran pemain untuk latihan bersama dan aspek teknikal.
Beliau berharap menerusi kerjasama dengan Guangdong, yang pernah melahirkan pemain seperti juara Olimpik beregu lelaki dua kali Fu Hai Feng dan empat kali juara dunia beregu wanita Chen Qing Chen, akan dapat meningkatkan kualiti badminton bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di seluruh negara.
"Walaupun pemain kita secara amnya mempunyai skil dan fizikal yang baik, namum kita sering mendengar mereka kekurangan kekuatan mental. Itu yang kita harap dapat belajar dari China.
"Ikut pelan awal, yang paling awal kita rancang pergi ke sana Februari atau Mac depan. Kami juga akan melihat kepada keupayaan kewangan kami untuk melihat berapa pemain yang kita dapat hantar," katanya.
-- BERNAMA
#Persatuan Badminton Kuala Lumpur #Arena Badminton DBKL Cheras #Jahaberdeen Mohamed Yunoos #MoU #Persatuan Badminton Guangdong
;