KL2017: Skuad taekwondo raih dua emas acara poomsae
Bernama
Ogos 26, 2017 18:37 MYT
Ogos 26, 2017 18:37 MYT
Skuad taekwondo negara menghadiahkan dua pingat emas melalui persembahan bertenaga dalam acara poomsae pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Latihan intensif di Korea Selatan ternyata memberi habuan lumayan buat mereka apabila turut menang dua pingat perak sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan pada hari pertama sukan taekwondo dipertandingkan.
Taekwondo Malaysia (TM) mengintai empat pingat emas keseluruhan dengan dua disasarkan dalam acara poomsae manakala dua lagi dalam acara kyorugi, kategori feather weight lelaki (bawah 68kg) dan fly weight wanita (bawah 49kg).
Pingat emas pertama Malaysia diraih Yap Khim Wen dalam acara poomsae individu wanita selepas mengumpul 8.30 mata diikuti Kidavone Philavong dari Laos (7.87) dan atlet Singapura, Chelsea Ann Sim Shu Zhen (7.78).
Seterusnya, atlet lelaki Chew Wei Yan menggandakan kilauan emas buat negara melalui acara poomsae individu lelaki selepas mencatatkan 8.29 mata.
Berada di belakang Malaysia dengan 8.02 mata ialah atlet Indonesia, Maulana Haidir yang meraih pingat perak manakala pingat gangsa diraih oleh Rodolfo Reyes Jr dari Filipina dengan 7.87 mata.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Malaysia menyapu bersih dua pingat emas dalam acara poomsae individu.
Dalam acara poomsae pasangan campuran, Malaysia mendapat perak menerusi Yap Khim Wen-Yong Jin Khun yang mengumpul 8.18 mata berada di belakang Thailand melalui Ornawee Srisahakit-Pongporn Suvittayarak yang membolot pingat emas dengan 8.34 mata manakala gangsa milik Vietnam (Chau Tuyet Van-Ho Thanh Phong) selepas memungut 7.62 mata.
Trio negara merangkumi Chew Wei Yan-Kok Jun Ee-Yong Jin Kun menang perak acara poomsae berpasukan lelaki selepas mengumpul 8.34 mata di belakang Filipina (Dustin Jacob Mella-Raphael Enrico Mella-Rodolfo Reyes Jr) yang meraih emas dengan 8.40 mata manakala Vietnam (Ho Thanh Phong-Le Hieu Nghia-Nguyen Thien Phung) meraih gangsa dengan 8.29 mata.
Trio wanita Marylyne Bungan Lian-Nur Ifa Husna Saiful-Nurul Hidayah Abdul Karim beraksi agak hambar apabila berakhir di kedudukan kelima daripada enam pasukan bertanding dalam kategori poomsae berpasukan wanita.
Pingat emas acara itu diraih Vietnam, diikuti Thailand dan Filipina.
Sebanyak 16 pingat emas daripada sukan taekwondo ditawarkan pada KL2017 bermula hari ini hingga 29 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Malaysia membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa.
-- BERNAMA