KL2017: Skuad hoki ais negara buka langkah kanan
Bernama
Ogos 20, 2017 23:30 MYT
Ogos 20, 2017 23:30 MYT
Malaysia memulakan kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara hoki ais, yang julung kali dipertandingkan, dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan selesa 10-3 ke atas Indonesia.
Pada aksi di gelanggang ais di Empire City, Damansara Perdana di sini, malam ini, Malaysia menerima kejutan seawal minit pertama apbila Robaid Wijaya membuka tirai jaringan.
Bagaimanapun, Malaysia bangkit selepas itu untuk menguasai perlawanan sehingga akhir perlawanan.
Biarpun menang dengan selesa, jurulatih negara, Kristof Kovago berkata anak buahnya perlu memperbaiki kelemahan sebelum berdepan dengan pencabar utama, Thailand, pada aksi kedua, esok.
Terdahulu, venue dengan kapasiti kira-kira 500 penonton itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam satu lagi perlawanan liga sepusingan yang berlangsung hari ini, Thailand mengalahkan Singapura 7-0.
-- BERNAMA