KL2017: Bola jaring Malaysia ke final, tumpaskan Brunei

Bernama
Ogos 19, 2017 13:24 MYT
Pemain bola jaring Malaysia, An Najwa Azizan (kiri) diasak oleh pemain Brunei pada separuh akhir acara bola jaringan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini. --fotoBERNAMA
Seperti diramalkan, skuad bola jaring negara meneruskan momentum bergaya pada aksi separuh akhir apabila menewaskan Brunei 70-28 di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Ketangkasan skuad bola jaring negara nyata tidak mampu ditandingi oleh Brunei yang ketinggalan 21 mata di suku masa pertama sebelum cuba memberikan sedikit tentangan pada suku kedua untuk menjadikan kedudukan 39-12.
Percaturan jurulatih daripada Australia, Tracey Robinson yang mempertaruhkan gandingan penjaring berbisa An Najwa Azizan dan Norashikin Kamal Zaman pada suku pertama perlawanan jelas menjadi apabila kedua-dua pemain itu mengganas bagi mendahului dengan pihak lawan sebelum An Najwa digantikan dengan L. Karishma pada suku kedua perlawanan.
Norashikin ternyata menjadi watak penting kepada kejayaan Malaysia apabila menyempurnakan 27 jaringan manakala An Najwa mencipta 22 jaringan sepanjang perlawanan diikuti Karishma 15 jaringan.
Turut memberi sokongan padu kepada skuad negara ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Angka kemenangan yang dicatatkan skuad negara jelas melebarkan senyuman di wajah Robinson kerana kejayaan itu mengesahkan tiket Malaysia ke pusingan final esok.
Mengulas corak permainan anak buahnya, Robinson berkata: "Kami masih perlu perkemaskan lagi teknik dan skil. Falsafah saya ialah bukan fokus pada tujuh pasukan terbaik tetapi melihat kepada setiap pasukan (12 pasukan teratas). Semua mereka adalah yang terbaik," kata Robinson kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Mengakui ketangkasan pemain Brunei, Norashikin berkata beliau agak gugup ketika perlawanan bermula namun dapat mengatasi perasaan tersebut apabila dapat menembusi benteng pasukan lawan dan menjaringkan gol demi gol untuk Malaysia.
"Jika bertemu Singapura untuk final esok, saya akan cuba atasi perasaan gugup dan sasaran jarak mata adalah antara 15-20," katanya. Satu lagi perlawanan separuh antara Singapura dan Thailand.
Sementara itu, An Najwa pula memuji stamina dan persembahan permainan rakan sepasukan yang tidak pernah berkurangan sejak lima perlawanan lepas.
"Saya harap momentum ini kekal hingga ke final kerana kami bermain bukan sahaja untuk pasukan malah untuk Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#bola jaring #Brunei #Malaysia #Norashikin Kamal Zaman #Sukan SEA #Tracey Robinson
;