KL Supercar Drag Race cungkil bakat anak muda, promosi Malaysia - Salleh

Bernama
Jun 5, 2016 08:00 MYT
Perlumbaan berpotensi mengasah bakat anak muda dalam pelbagai bidang khususnya permotoran selain mempromosikan Malaysia. - Gambar fail
Program KL Supercar Drag Race, yang akan diadakan buat julung kalinya di Dataran Merdeka di sini bulan depan, berpotensi mengasah bakat anak muda dalam pelbagai bidang khususnya permotoran selain mempromosikan Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata acara itu dijangka menarik kehadiran lebih 10,000 penonton.
"Ia juga membantu mengeratkan hubungan sesama masyarakat yang datang menyaksikan kejohanan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran program itu di sini, malam tadi.
Sementara itu, pengerusi program berkenaan Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata acara itu dijangka disertai kira-kira 1,600 pemilik 'Supercar' dari dalam dan luar negara.
"Ia diadakan bagi merealisasikan minat dan cita rasa golongan muda bandar di negara ini terutama pemilik dan peminat Supercar," katanya.
Nazir Hussin, yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pergerakan Pemuda UMNO, berkata kejohanan anjuran biro itu melibatkan empat siri dengan yang pertama bermula pada 15-17 Julai, siri kedua 16-18 Sept, siri ketiga 4-6 Nov dan siri keempat 2-4 Dis ini.
Pelbagai aktiviti sampingan juga akan diadakan seperti pameran dan jualan aksesori kereta.
#KL Supercar Drag Race #Menteri Komunikasi dan Multimedia #Salleh Said Keruak
;