KL juara Piala Tun Abdul Razak selepas 12 tahun
Bernama
Oktober 21, 2023 00:37 MYT
Oktober 21, 2023 00:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menamatkan penantian 12 tahun untuk merangkul kejuaraan hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 dengan menewaskan Melaka 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan final di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas perlawanan berakhir sepenuh masa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian I. Vikneswaran mengulangi kejayaan kali terakhir pada 2011.
Pada aksi itu menyaksikan Melaka bermula garang mendominasi perlawanan sebelum Amirullah Zainol membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi jaringan padang.
Jaringan anak kendalian jurulatih Nor Ikhram Sulaiman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan Kuala Lumpur untuk menyamakan kedudukan selepas Zulpidaus Mizun meledak jaringan padang pada minit ke-29.
Melaka kemudian kembali memperkemaskan jentera mereka dan membalas serangan pada minit ke-34 hasil pukulan sudut penalti sekali lagi disempurnakan Amirullah namun Kuala Lumpur meledak jaringan penyamaan yang disudahkan V. Sriraam pada minit ke-47 menjadikan keputusan 2-2 hingga ke wisel penamat.
Perlawanan kemudian terpaksa diheret ke penentuan pukulan penalti yang akhirnya memihak kepada Kuala Lumpur dengan hasil jaringan Muhammad Fitri Khairul Ariffin, Muhammad Aslam Mohamed Hanifah, Danial Asyraf Abdul Ghani dan Wan Arif Faizuddin Wan Ameer Ruzman.
Vikneswaran ketika ditemui pemberita berkata tidak menjangkakan kemenangan yang diraih kerana kebanyakan pemainnya dibarisi muka baru.
"Pasukan ini merupakan pasukan muda dan kita hanya sasar untuk menjuarai pada tiga hingga lima tahun akan datang tapi kita nampak semangat dan pemahaman mereka mengkuti taktikal dan teknikal permainan," katanya kewpada pemberita selepas perlawanan itu.
Terdahulu, juara bertahan Perak mengesahkan kedudukan di tangga ketiga selepas menewaskan Pahang 3-1 menerusi pukulan penalti.
Sementara itu dalam saingan wanita, Sabah melakukan kejutan terbesar untuk merangkul kejuaraan buat kali pertama dengan mengecewakan juara bertahan Selangor 2-1.
Selangor terlebih dahulu mencetak jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Eliya Amanina Elias seawal minit keempat, bagaimanapun, Sabah menyamakan kedudukan selepas Iren Hussin meledak jaringan padang pada minit ke-18.
Cyrachild Rojos muncul wirawati Sabah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-38.
Jurulatih Sabah, Hasrul Jideh menyifatkan kemenangan sulung pada kejohanan piala berprestij itu merupakan berita gembira buat peminat hoki Sabah.
"Pemain kami memang sudah lama bentuk sejak 2018 sekali gus menjadi nain juara te,masua Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun sama...saya yakin mereka sudah cukup matang untuk kejohanan seperti ini," katanya.
Tempat ketiga menjadi milik Melaka selepas mengetepikan Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
-- BERNAMA