KL jadi gelanggang baharu perlumbaan Grand Prix Bandaraya

Bernama
Julai 22, 2015 08:05 MYT
Bagi perlumbaan ini, reka bentuk litar melibatkan elemen selekoh tajam, laluan lurus dan kawasan perubahan ketinggian jalan bagi memberi cabaran kepada pelumba.
Grand Prix Bandaraya KL dari 7 hingga 9 Ogos ini bakal menyaksikan pelumba memecut di litar sementara Gred 3 sejauh 3.2km membabitkan beberapa jalan utama seperti Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail and Jalan Pinang.
Menurut penganjur GT Global Race (Malaysia) Sdn Bhd, para pemandu akan berlumba di litar jalanan Kuala Lumpur dengan anggaran kelajuan 200 kilometer sejam untuk memburu kejuaraan.
Litar itu mempunyai 16 selekoh, 10 ke kanan dan enam ke kiri bagi memberi cabaran kepada teknik pemanduan. Perlumbaan itu dijangka menarik 150,000 peminat sukan permotoran.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden GT Global Race (Malaysia) Sdn Bhd, M. Arrasu memberitahu Bernama, reka bentuk litar itu mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan kini hanya menunggu untuk disiapkan menjelang akhir bulan ini.
Litar jalanan itu yang kedua selepas Putrajaya, akan meletakkan ibu negara sebagai salah satu litar utama sukan permotoran membabitkan kereta GT dan V8.
Lesen FIA merangkumi Gred 1 hingga 6 dengan Gred 1 menjadi kelas utama untuk perlumbaan Formula Satu.
Arrasu berkata litar itu direka Apex Circuit Design Ltd., sebuah syarikat perunding antarabangsa bagi rekaan litar dan kemudahan automatif. Pembinaannya pula dibuat pakar terkemuka dunia untuk litar sementara, KBR.
"Penyediaan litar untuk perlumbaan tiga hari itu sudah siap 85 peratus. Malah laluan di litar itu juga dibuat khusus bagi mendapatkan cengkaman tayar yang lebih baik, sekali gus memastikan keselamatan pelumba," katanya.
Arrasu berkata reka bentuk litar melibatkan elemen selekoh tajam, laluan lurus dan kawasan perubahan ketinggian jalan bagi memberi cabaran kepada pelumba.
Litar itu juga direka untuk menonjolkan lokasi tumpuan di bandar raya termasuk kawasan permulaan dan penamat di pekarangan Menara Berkembar Petronas.
Perlumbaan itu membabitkan acara kereta GT seperti Piala Super Lamborghini, Formula Masters, Piala Porsche Carrera and Piala Audi R8 LMS selain demonstrasi lima kereta terbaik siri super V8.
#Grand Prix Bandaraya KL #GT Global Race #KL City Grand Prix #litar
;