KL City benam JDT, muncul juara Piala Malaysia edisi ke-100!
Raja Hisyam Raja Zaid, Faris Danial Razi
November 30, 2021 22:58 MYT
November 30, 2021 22:58 MYT
KUALA LUMPUR: Penantian selama 32 tahun untuk ke pusingan akhir tidak berakhir dengan sia-sia apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya menjulang trofi Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 kejohanan itu sebentar tadi.
Disifatkan sebagai ‘underdog’ di pentas final, pasukan kendalian Bojan Hodak itu menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.
Zhafri Yahya mengejutkan stadium dengan jaringan pertamanya pada minit ke-66 dan diikuti jaringan kapten KL City, Paulo Josue pada minit ke-74.
Pasukan Harimau Selatan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk sekali lagi bergelar juara dilihat membuat beberapa cubaan balas pada separuh masa kedua namun, benteng pertahanan anak didikan Hodak nyata sukar ditembusi.
Hasrat JDT untuk memburu gol untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang juga seakan buntu dengan aksi tangkas penjaga gol KL City Kevin Mendoza yang kerap mengagalkan percubaan berbahaya Harimau Selatan itu.
Ramai yang menganggap kejuraaan Piala Malaysia sudah dipegang oleh skuad JDT yang bernilai RM29 juta itu berdasarkan segala kelebihan yang dimiliki skuad 'sempurna' Harimau Selatan berbanding skuad 'underdog' KL City yang hanya bernilai RM16 juta.
Kali terakhir The City Boys berada di pentas akhir saingan tertua Asia Tenggara itu adalah pada tahun 1989, iaitu lebih tiga dekad lalu.