KKM, MKN sedia bantu atlet di Tokyo andai mereka positif COVID-19 - Ismail Sabri
Astro Awani
Julai 13, 2021 18:57 MYT
Julai 13, 2021 18:57 MYT
PUTRAJAYA: Semua atlet yang bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo bermula hujung bulan ini akan diberikan perhatian sewajarnya sekiranya dijangkiti COVID-19 semasa berada di sana.
Jaminan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.
Justeru, beliau menasihatkan atlet supaya tidak risau dan memberi persembahan terbaik bagi mengharumkan nama negara.
“Kita akan bincang dengan KKM apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan tiada ahli atau atlet kita yang tidak diberikan perhatian sewaktu di sana.
“Kalau boleh, kita tidak mahu ada langsung, kalau boleh jangan ada satu pun atlet kita dijangkitI tapi kalaulah ada, kita akan sediakan sebaik mungkin bantuan untuk membantu atlet kita di sana.
“Jangan risau, KKM dan MKN sentiasa bersedia kalau berlaku perkara tidak diingini,” katanya pada sidang media selepas Amanat Perdana bersama Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo secara dalam talian di sini pada Selasa.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Chef de Mission Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei dan Chef de Mission Sukan Paralimpik Tokyo, Datuk Sri Megat D Shahriman Zaharuddin.
Dalam pada itu, ketika ditanya tempoh kuarantin untuk setiap atlet sebaik pulang ke tanah air, Ismail Sabri memaklumkan ia akan ditentukan KKM kelak.
“Itu akan ditentukan KKM. Kita akan bincang bersama MKN, dalam mesyuarat teknikal dan sebagainya untuk membincangkan dari segi kuarantin, berapa hari, itu akan ditentukan KKM,” ujarnya.
Tambahnya, beliau dan seluruh negara mempunyai harapan tinggi untuk melihat kilauan emas pertama Olimpik dibawa pulang dari bumi Tokyo.
#Olimpik
#Tokyo
#TPM
#ismail sabri yaakob
#Chef de Mission
#COVID-19
#Reezal Merican
#KKM
#Chong Wei
#sukan
#MKN
#Kementerian Kesihatan
#emas
#Sukan Olimpik
#ganbatte