KJ sasar penglibatan 10 juta rakyat Malaysia pada HSN 2017

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 9, 2016 16:01 MYT
Khairy optimis sasaran itu mampu dicapai selepas HSN 2016 berjaya melepasi sasaran dengan penglibatan lebih 7 juta rakyat Malaysia. - Gambar fail
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyasarkan penglibatan 10 juta rakyat Malaysia pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) tahun depan.
Beliau optimis sasaran itu mampu dicapai selepas HSN 2016 berjaya melepasi sasaran dengan penglibatan lebih 7 juta rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di luar negara.
"Saya sasarkan 10 juta penglibatan rakyat Malaysia tahun depan. Saya rasa (sasaran itu) boleh (dicapai) sebab tahun depan HSN akan disambut selepas Sukan SEA. Kalau kita telah menjuarai Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pun berjaya, saya rasa suasana itu boleh dibawa hingga ke HSN (2017).
"Saya belum bincang lagi perkara ini dengan sekretariat, tapi sebagai menteri saya rasa boleh kita naikkan sasaran kepada 30 peratus," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di sini hari ini.
Jelas beliau, pihak sekretariat masih mengumpul data penglibatan rakyat Malaysia pada HSN 2016, di mana jumlah akhir bakal diketahui dalam tempoh terdekat.
Malah, beliau turut berbangga apabila pejabat-pejabat kedutaan Malaysia di luar negara turut sama meraikan HSN 2016.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menimbang untuk menambah peruntukan bagi sukan dalam Bajet 2017, Khairy berkata hasrat Perdana Menteri itu disambut baik kementeriannya.
"Saya harap ucapan Perdana Menteri itu menjadi kenyataan. Pulangan yang kita dapat bukan dalam bidang sukan sahaja.
"Pulangan yang kita dapat adalah semangat dan kegembiraan daripada seluruh rakyat Malaysia. Jadi bagi saya pelaburan dalam sukan ini berbaloi sebab pulangannya amat besar," katanya.
Bagaimanapun, beliau akan berbincang bersama Datuk Seri Najib untuk mengenalpasti pecahan peruntukan serta keutamaan yang perlu diberikan.
#Hari Sukan Negara #Khairy Jamaluddin #KJ #masyarakat bersukan #Najib Razak #Perdana Menteri