KJ minta Chong Wei rehat sebulan
Astro Arena
November 23, 2015 19:26 MYT
November 23, 2015 19:26 MYT
Kejayaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei merangkul dua kejuaraan Siri Super - Terbuka China dan Terbuka Hong Kong - membuktikan kemampuan pemain senior itu tidak boleh diragui.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin percaya bekas pemain nombor satu dunia itu tidak berdepan masalah untuk berada dalam kelompok empat teratas ranking dunia menjelang Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan, untuk mendapat undian lebih selesa pada temasya itu.
"Kebolehan Chong Wei tidak boleh diragui. Beliau membuktikan kemampuannya menewaskan sesiapa sahaja. Chong Wei berada dalam prestasi terbaik untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Bola Sepak Chelsea FC Malaysia di Pusat Sukan NPNG, Damansara di sini hari ini.
Kedudukan Chong Wei dalam ranking dunia melonjak tiga anak tangga ke ranking keenam selepas menjuarai Terbuka China pada 15 Nov lepas.
Pada masa sama, Khairy mahu Chong Wei menjaga kesihatannya terutama keadaan fizikal kerana pemain berusia 33 tahun itu perlu mengambil masa yang lama untuk pulih sekiranya mengalami kecederaan.
"Sekarang ini pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) akan memberi fokus kepada menjaga keadaan fizikal beliau terutama menjelang Sukan Olimpik tahun depan.
"Chong Wei sebelum ini memang tiada pilihan, beliau terpaksa beraksi dalam seberapa banyak kejohanan untuk menaikkan semula kedudukannya dalam ranking dunia.
"Sekarang semua sudah selesai, Chong Wei boleh berehat selama sebulan dan saya minta dia berehat," katanya.