KJ bakal sertai pengurusan JDT?
Astro Awani
Januari 28, 2023 22:23 MYT
Januari 28, 2023 22:23 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas dipecat dari UMNO, ramai tertanya-tanya apa hala tuju bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sama ada berehat atau menyertai parti lain.
Namun, hantaran terbaru Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram miliknya, membuatkan peminat bola sepak tempatan mengagak bahawa Khairy bakal menyertai pengurusan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).
Tunku Ismail seakan memberi bayangan bahawa Khairy bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT pada masa hadapan.
"Bakal CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) JDT dan penasihat belia Johor," tulis Tunku Ismail yang turut memuat naik gambar beliau bersama Khairy.
Pada Jumaat, mesyuarat MKT memutuskan pemecatan Khairy dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.