Kita tidak fikir cari pengganti, jurulatih baru, ketika ini - Yusoff Mahadi

Astro Arena
Julai 20, 2024 08:00 MYT
YUSOFF: Buat masa ini kita tidak fikir ke arah itu kerana Pau Marti akan meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh Pan-gon. - Foto Astro ARENA
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Yusoff Mahadi melihat keperluan menguji pemangku jurulatih negara, Pau Marti, merupakan topik utama ketika ini.
Sekiranya Pau gagal dalam dua kejohanan terdekat, cadangan pencarian jurulatih 'fresh' yang disarankan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim, Tengku Ismail Sultan Ibrahim, bakal dipertimbangkan.
Ini berikutan, jurulatih berusia 40 tahun itu merupakan calon paling hampir dengan corak yang telah diterapkan oleh Kim Pan-gon sejak hampir tiga tahun lalu sebelum ini.
"Buat masa ini kita tidak fikir ke arah itu kerana Pau Marti akan meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh Pan-gon, memandangkan kejohanan Pestabola Merdeka dan Piala AFF sudah semakin hampir.
"Soal siapa jurulatih baru tidak timbul ketika ini, kita sedang fikir cara untuk menjaga kestabilan pasukan dan Pau Marti untuk meneruskan mengambil alih tugas Pan-gon.
"Mungkin selepas Piala AFF kita akan lihat keperluan ambil jurulatih baru atau tidak, jika Pau bagus maka kita akan kekalkan dia untuk Kelayakan Piala Asia.
"Kita tidak fikir untuk mencari pengganti atau 'fresh' jurulatih buat masa ini. Atas kepentingan Harimau Malaya kita akan buat yang terbaik," katanya.
#harimau Malaya #Pau Marti #Kim Pan-gon #ketua jurulatih
;