'Kita tidak boleh hina Zidane' - Mbappe kritik presiden bola sepak Perancis

Sinar Harian
Januari 9, 2023 12:34 MYT
Nada ego Le Graet itu menimbulkan rasa kurang senang Mbappe yang menyifatkan Zidane tidak seharusnya dilayan sebegitu. - Fail/Stadium Astro
KYLIAN Mbappe mengkritik Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet sebagai tidak menghormati Zinedine Zidane selepas mengenepikan bekas jurulatih Real Madrid itu sebagai pengendali Les Blues.
Pada Sabtu, Didier Deschamps telah menandatangani kontrak baharu selama empat tahun sebagai ketua jurulatih Perancis, membolehkannya mengetuai Les Bleus untuk aksi Piala Dunia keempatnya pada 2026.
Zidane juga telah dikaitkan dengan jawatan tersebut dalam beberapa bulan lalu termasuk selepas kekalahan kepada Argentina dalam final Piala Dunia Qatar, baru-baru ini.
Bagaimanapun, apabila jawatan itu telah disahkan milik Deschamps, Zidane dikatakan sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Tite sebagai ketua jurulatih Brazil.
Ketika ditanya sama ada Zidane yang memenangi Piala Dunia 1998 sebagai pemain bersama Deschamps dan naib juara pada 2006 bercakap dengannya beberapa hari kebelakangan ini, Le Graet menolak Zidane sebagai calon berpotensi.
"Saya tidak akan menerima panggilannya. Nak beritahu dia apa? 'Hello tuan, jangan bimbang, carilah kelab baharu, saya baharu bersetuju dengan kontrak bersama Didier'.
"Saya akan terkejut jika dia ke sana (Brazil). Dia buat apa yang dia mahu dan ia tidak membimbangkan saya. Saya tidak pernah bertemu dengannya dan kami tidak pernah memikirkan untuk berpisah dengan Didier," katanya.
Nada ego Le Graet itu menimbulkan rasa kurang senang Mbappe yang menyifatkan Zidane tidak seharusnya dilayan sebegitu.
"Zidane adalah orang Perancis, kita tidak boleh menghina legenda seperti itu," katanya. -- Sinar Harian
#Kylian Mbappe #Zinedine Zidane #Pasukan Perancis #legenda Piala Dunia
;