"Kita menang Thomas Cup pun sebab tolak ansur" - Cerita Lee Chong Wei sentuh hati rakyat Malaysia

Madiha Abdullah
April 13, 2021 20:23 MYT
Hantaran di laman sosial bukan sekadar untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam, tetapi Lee Chong Wei turut bercerita tentang semangat perpaduan. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menyentuh hati ramai apabila berkongsi kisah anaknya yang terasa hati apabila tidak ada rakan mahu makan bersama di sekolah.
Hal itu diceritakan Chong Wei menerusi satu hantaran di media sosial.
Tanpa menyedari hari ini merupakan hari pertama Ramadan, Kingston mengadu kepada bapanya bagaimana dua rakannya yang berbangsa Melayu enggan menjamah makanan yang dibawanya.
"Tadi masa waktu rehat, saya berkongsi makanan dan minuman dengan rakan sekelas. Ada dua orang kawan baik saya, Syihan dan Amli tak nak makan. Kenapa?
"Kemudian saya dinasihat cikgu supaya makan di sudut jauh dari segelintir kawan-kawan. Apa salah saya, papa?" tanya Kingston.
"You tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa.
"Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina India lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain, ” jelas Chong Wei kepada anak sulungnya itu.
Namun, konsep tolak ansur mungkin belum difahami sepenuhnya bagi kanak-kanak berusia lapan tahun itu, justeru dia memberontak.
"Kalau kita tak bertolak ansur, Koko tidak akan boleh berkawan dengan Amli dan Syihan lagi. Bayangkan kalau tak bertolak ansur, Koko main mercun semasa New Year mestinya dimaki.
"Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam mesti dihalang. Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin shopping mall ada Christmas tree semasa Christmas.
"Kita menang bola (sepak) dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu," begitu panjang lebar penjelasan Chong Wei.
Beliau mengakhiri tulisannya dengan ucapan selamat menyambut Ramadan dan berpuasa kepada seluruh umat Islam.
Di bahagian komen, pengguna media sosial menyifatkan kisah tersebut kaya dengan pengajaran, malah memuji cara bekas pemain nombor satu dunia itu mendidik anaknya.
Hantaran itu sudah menerima lebih 12,000 tanda suka dan lebih 600 perkongsian.
Sumber Facebook leechongweiofficial
#Lee Chong Wei #Ramadan #Islam #media sosial #Facebook #Cina #India #Melayu #puasa #ramadan2021
;