Kisah peluncur ais negara, Julian Yee, jadi animasi Samsung
Bernama
Februari 7, 2018 17:36 MYT
Februari 7, 2018 17:36 MYT
BAGI atlet peluncur ais negara, Julian Yee Zhi Jie, 20, saat rakyat Malaysia melihat sukan luncur ais dengan pandangan berbeza adalah detik yang paling dinantikannya.
Beliau masih ingat bagaimana di awal penglibatannya secara serius, sukar baginya mencari ruang dan peluang berlatih acara kegemarannya itu. Tempat yang sering dituju ialah di sebuat pusat membeli-belah yang sering menjadi tumpuan orang ramai.
Malah, beliau sukar mencari penaja bagi sukan yang tidak popular di negara beriklim tropika seperti Malaysia.
"Ramai yang menganggap meluncur ais hanya sebagai hobi atau untuk berseronok, tetapi tidak melihatnya sebagai satu sukan yang berpotensi. Sehinggalah apabila ramai yang telah membuka mata kepada acara ini, laluan saya menjadi lebih mudah.
"Sokongan yang diterima amatlah menggalakkan daripada rakan-rakan dan peminat sukan," kongsi Yee kepada media dalam majlis pelancaran filem animasi pendek, "Julian and His Magical Skates", menggunakan aplikasi di telefon bimbit Samsung Galaxy Note8 dan S Pen.
Sejak diperkenalkan ibunya, Irene Cheow dengan aktiviti meluncur ais seawal empat tahun usianya, Yee dan ibunya sering menyertai pelbagai pertandingan meluncur ais.
Melihat potensi dan juga minat Yee, latihan yang bermula sekali seminggu dipertingkatkan kepada dua hingga tiga kali seminggu dan akhirnya setiap hari.
Mereka berdua akan bergerak seawal 6.00 pagi ke tempat latihan. Selesai latihan, Cheow akan menghantar anaknya ke sekolah. Malah kadang-kala mereka pulang sehingga lewat malam selepas selesai menjalani latihan.
Menurut Cheow, tidak cukup dengan pertandingan dan latihan di dalam negara, Yee dihantar sehingga ke luar negara pada musim cuti sekolah.
Ternyata segala pengorbanan dan jerih payah yang dilalui Yee amat berbaloi kerana hari ini, daripada meluncur di gelanggang yang kecil dan sempit, Yee berjaya meluncur di gelanggang ais bertaraf dunia.
Menurut Yee, paling dibanggakannya ialah beliau bakal membawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, yang akan berlangsung 9 hingga 25 Februari ini.
Yee menjadi atlet kedua daripada skuad luncur ais negara yang layak beraksi di temasya tersebut selepas Jeffrey Webb terlebih dahulu layak ke temasya itu.
Anak kelahiran Petaling Jaya tersebut layak ke Pyeongchang 2018 selepas meraih tempat keenam pada Kejohanan Trofi CS Nebelhorn ke-49 di Jerman Oktober lepas.
Beliau turut menyumbang emas kepada negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Malah Yee juga cemerlang kerana telah dua kali berjaya ke final Juara Dunia dan berada di kedudukan ke-38 dunia.
Malah kisah pencapaiannya turut dihargai apabila Samsung, menjadikan kisah Yee sebagai antara inspirasi di dalam kempen "Do What You Can't".
Kempen Do What You Can't
Kempen "Do What You Can't" adalah satu kempen yang dilaksanakan Samsung sejak 2016. Ia bukan sekadar satu frasa tetapi menekankan semangat, nilai sebenar, inspirasi tanpa sempadan dan perkara mustahil yang dapat dikongsi bersama generasi muda yang banyak menggunakan telefon bimbit.
Menurut Presiden Samsung Malaysia Electronics Yoonsoo Kim, perjalanan yang dilalui oleh Yee bukanlah satu perjalanan yang mudah. Pelbagai halangan dan kepayahan diharunginya dengan pengorbanan yang amat tinggi.
"Apabila muncul peluang untuk menyokong peluncur ais pertama negara, Julian Yee, kami terus merebutnya kerana Julian merupakan contoh utama apa yang dimaksudkan dengan "Do What You Can't".
"Julian kini menjadi pesaing Olimpik dalam sukan yang tidak biasa di Malaysia. Dan untuk itu kami sangat bangga dengannya dan berharap yang lain akan melihatnya sebagai inspirasi untuk mencapai suatu yang lebih besar, " katanya.
Animasi pendek
Bersempena Pyeongchang 2018, Samsung menghasilkan sebuah filem animasi pendek berjudul "Julian and His Magical Skates", satu penghargaanistimewa buat bintang yang sedang menyinar tersebut.
Video berkenaan dirakam dan diilustrasi sepenuhnya menggunakan aplikasi di Samsung Galaxy Note8 dan S Pen.
Diarahkan oleh Chan Woei Hern, Pengarah Kreatif Eksekutif Ensemble Worldwide Malaysia, filem pendek itu menceritakan perjalanan Yee ke Pyeongchang 2018. Ia juga simbolik mesej dari Samsung yang mahukan penggunanya memecahkan sempadan dalam usaha mencapai impian mereka.
-- BERNAMA