Kisah Josiah Ng: Pernah 'dihalau' bapa, jual biskut untuk beli basikal

Astro Arena
April 14, 2016 20:49 MYT
Josiah melalui zaman yang sukar pada awal kaerirnya namun semua itu ditempuhi demi minat. - Foto sumber Facebook Josiah Ng
PADA usia 14 tahun, dia berjaya memiliki sebuah basikal pada harga AS$250 (RM970), berkat daripada kegigihannya mengumpul wang hasil jualan biskut berharga AS$1 yang dibuatnya.
Itulah kisah kejayaan yang dikongsi pelumba basikal trek negara, Josiah Ng yang membesar di selatan California, Amerika Syarikat mengenai keperitannya untuk berjaya.
Setahun kemudian, buat julung kalinya dia menyertai pertandingan dan mengakhirinya di tempat tercorot dalam kalangan 30 peserta.
Pendedahan awal itu mengobarkan semangatnya apabila dia mula membuat kajian bagaimana untuk memperbaiki kayuhannya dan mendapatkan jurulatih.
Selang beberapa bulan kemudian, dia muncul pelumba kelima terbaik. Dua kemudian dilantik selaku kapten, dengan bekas juara dalam penyertaan perlumbaan sulungnya turut menjadi sebahagian daripada anggota pasukannya.
Menurut Josiah lagi, kurang mendapat galakan ibu bapa bukanlah penghalang baginya kerana mereka lebih gemar andai anak mereka menumpukan kepada pelajaran dan bidang muzik kerana bagi ibunya, sukan berbasikal tiada masa depan yang cerah.
Tapi Josiah terus berdegil untuk meneruskan impiannya.
Dia memberitahu lagi, di selatan California tempatnya membesar selalu diadakan pertandingan hampir setiap minggu.
Namun, oleh kerana perjalanannya ke destinasi perlumbaan memakan masa adakalanya hampir dua jam dengan pemanduan, maka apa yang dia lakukan ialah dengan menamakan 10 keluarga pesaing dalam senarai.
Setiap Jumaat petang dia akan menelefon mereka untuk menumpang dan dia tidak pernah gagal.
Dalam masa yang sama, ibu bapanya tidak tahan lagi dengan obsesinya, lalu mengharamkan basikal di rumah sehingga Josiah terpaksa menyorok basikalnya di rumah rakan yang sejauh lima kilometer.
Bagi mengaburi mata ibu bapanya, dia akan memberi alasan keluar berlatih dan bermain sukan kasut beroda yang cukup terkenal ketika itu.
Tembelang Josiah pecah jua. Bapanya memberi amaran jika dia meneruskan kayuhannya pada usia 18 tahun, dia perlu perlu keluar dari rumah itu.
Begitupun, dia mengingkari amaran itu sehinggalah ayahnya menyuruhnya mengemas beg.
'Semoga berjaya'
"Saya masih ingat hari itu. Ayah bersalam dengan saya dan berkata semoga berjaya anakku," katanya.
Bagi mendapatkan tempat berteduh manakala perut pula perlu diisi, Josiah berdikari dengan menawarkan perkhidmatan membaiki piano, mengajar bermain biola dan melatih peserta kelas senaman basikal.
Terang Josiah lagi, semasa berumur 17 tahun, dia diberitahu fizikalnya dengan ketinggian 173cm dan 55 kilogram bukanlah ideal untuk menjadi pelumba basikal trek berkelas dunia. Malahan, dua jurulatih ternama menyarankan dia supaya beralih ke acara endurance.
Pada usia 18 tahun, Josiah meraih tempat kedua Kejohanan Kebangsaan Remaja Amerika Syarikat (AS) namun menawarkan diri untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan AS, tetapi tiada jawapan balas.
Kemudian dia terus berusaha dan cuba mendekati Majlis Sukan Negara (MSN) namun tiada jawapan balas. Sebaliknya, dia memutuskan untuk pulangb ke Malaysia untuk berurusan di samping melawat datuk dan neneknya.
Ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kereta yang digunakan untuk menjemputnya dipenuhi dengan barangan. Atas sebab itu, Josiah mengambil keputusan untuk berkayuh ke rumah flat neneknya di Ampang dalam suasana hujan.
Nekad di pejabat MSN
Apabila tiba di MSN, Josiah terpaksa meyakinkan pihak berkenaan kerana waktu itu Malaysia tiada pelumba untuk acara tersebut. Josiah mengesyorkan agar satu pertandingan tempatan diadakan dan tidak berganjak dari pejabat MSN sehinggalah dia mendapat persetujuan.
Seminggu selepas Josiah diberi peluang, akhirnya berjaya membuktikan dirinya.
Ketika berusia 24 tahun, iaitu empat bulan sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Athens 2004, dia ditimpa kemalangan semasa sesi latihan yang menyebabkan pergelangan tangan, gigi, hidungnya patah dan kehilangan banyak darah.
Gara-gara itu, dia terlepas latihan selama enam minggu. Josiah tetap bertenaga dan berjaya mara ke final dan akhirnya meraih tempat kelima. Sejak itu barulah dia dihormati dan mendapat tajaan.
Ketika kemampuannya mula diragui susulan faktor usia, Josiah mengetepikan semua kata-kata negatif untuk menggondol pingat emas dalam acara kirin pada Sukan Komanwel, sekali gus menyekat dominasi Australia ketika itu.
Inilah pengorbanan dan proses pendakian seorang atlet yang kurang mendapat liputan kepada umum.
Tatkala kisah peserta cilik yang mendapat imbuhan tidak seberapa ketika menyertai satu pertandingan tempatan mengundang persepsi, apa yang cuba disampaikan Josiah, kejayaan tidak boleh diukur dengan wang ringgit kerana sukan berbasikal trek minatnya dan berusaha keras untuk menjadikan impiannya bertukar realiti.
Artikel penuh mengenai Josiah Ng boleh dibaca menerusi laman Facebook peribadinya, https://www.facebook.com/josiahcyclist/posts/10154144522000127:0
#berita Josiah Ng #Josiah Ng #kisah hidup Josiah Ng #pelumba basikal negara
;