Kimberly positif 'masanya akan tiba' ke pentas Olimpik 2028
Bernama
November 5, 2023 21:45 MYT
November 5, 2023 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun impian untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian, namun penerjun negara Kimberly Bong tetap positif 'masanya akan tiba' untuk membuat penampilan sulung pada edisi 2028 di Los Angeles (LA28).
Atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu berkata beliau tidak berkecil hati apabila namanya tidak tersenarai dalam acara Olimpik bagi penyertaannya di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Doha, Qatar berlangsung Februari tahun depan.
Kimberly yang akan bertanding dalam acara 1 meter (m) papan anjal wanita di kejohanan itu berkata perjalanannya masih jauh dan bertekad untuk memburu slot pada temasya LA28 kelak.
"Ia bukan menjadi masalah (tidak bertanding di Paris 2024) kerana perjalanan saya masih jauh, kerana atlet senior pun tidak akan kekal lama disebabkan faktor usia dan perkara lain. Sebagai junior saya perlu tingkatkan prestasi dan bersedia untuk Sukan Olimpik akan datang.
"Tiada erti kecil hati, adat dalam sukan kita bertanding dan kita kalah. Ada kalanya kita perlu bangkit... Olimpik 2028, empat tahun itu satu jangka masa panjang dan tidak mustahil untuk saya (layak ke LA28)," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Kimberly merupakan pemenang pingat emas acara 3m papan anjal wanita di Sukan SEA Kemboja 2023 dan menamatkan saingan di tempat keenam pada Sukan Asia Hangzhou 2022, bulan lepas.
Kejohanan Akuatik Dunia di Doha tahun depan menawarkan slot ke Olimpik Paris 2024. Pada masa ini, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee merupakan prospek utama negara dalam acara 3m papan anjal wanita.
Terdahulu, Kimberly menepati ramalan apabila mendominasi acara 3m papan anjal wanita dengan mengumpul 269.40 mata, diikuti wakil Singapura Clara Liaw yang meraih pingat perak dengan 216.80 mata.
Pingat gangsa diraih Chan Tsz Ming dari Hong Kong selepas mengutip 213.10 mata.
Gandingan Uzbekistan Igor Myalin-Vyacheslav memenangi pingat emas acara 3m papan anjal seirama lelaki dengan pungutan mata 335.94, mengatasi Adityo Restu Putra-Tri Anggoro Priambodo dari Indonesia yang mendapat 328.62 mata.
Pingat gangsa dimenangi gandingan muda negara Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie dengan 320.67 mata.
Dalam acara 10m platform seirama campuran pula, wakil negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Jellson Jabilin memenangi emas selepas mengumpul 266.16 mata mengatasi wakil Sarawak Jared Aiden Harold-Nurul Farisya Affendi yang meraih pingat perak dengan 197.28 mata. Acara berkenaan disertai dua wakil sahaja.
-- BERNAMA