Kim Swee utamakan pemulihan pemain menjelang pertemuan dengan Arab Saudi

Bernama
Mac 21, 2016 08:04 MYT
Kim Swee menuntut pemainnya supaya mempamerkan aksi lebih berdisiplin dan tersusun. - Gambar fail
Proses pemulihan pemain menjadi fokus utama Ketua Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee sebelum skuad negara itu berdepan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan pada 24 Mac ini.
Jurulatih kelahiran Melaka itu mengakui tujuh pemain Johor Darul Takzim yang melapor diri pada Ahad masih lagi keletihan selepas beraksi pada suku akhir pertama Piala FA menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam kelmarin.
"Kemungkinan besar saya akan menjalankan latihan ringan esok sebelum menjalani latihan intensif terutamanya taktikal permainan pada 22 Mac ini dan menurunkan kembali intensiti latihan sehari sebelum berdepan Arab Saudi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum Harimau Malaysia berlepas ke Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, pada Ahad.
Menurutnya kesebelasan utama yang bakal diturunkan berdepan Arab Saudi nanti hanya akan ditentukan dalam tempoh tiga hari latihan bermula Isnin.
Lebih berdisiplin
Pada masa sama, Kim Swee menuntut pemainnya supaya mempamerkan aksi lebih berdisiplin dan tersusun memandangkan gergasi Asia Barat itu semestinya akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan.
Sementara itu, kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim mengharapkan bantuan rakan sepasukan untuk mempamerkan aksi terbaik berdepan Arab Saudi terutamanya bagi mengembalikan semula maruah skuad kebangsaan susulan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan pusingan kelayakan sebelum ini.
Beliau menjelaskan tugas menjaringkan gol tidak hanya diletakkan di bahunya kerana semua pemain turut bertanggungjawab di atas keputusan berdepan Arab Saudi nanti.
"Apa yang penting kita belajar daripada kesilapan lalu dan kita buat sesuatu di sana.Kita tahu Arab Saudi adalah satu pasukan yang terbaik di Asia.
"Bagi saya, kita perlu ambil perlawanan ini secara serius untuk mengembalikan semula maruah skuad kebangsaan," katanya.
Malaysia akan berdepan Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah pada 8.30 malam Khamis waktu tempatan (1.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).
#Arab Saudi #Harimau Malaysia #Ong Kim Swee #Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019
;