Kim Swee mahu anak buah kekal rentak permainan
Bernama
Jun 19, 2022 11:28 MYT
Jun 19, 2022 11:28 MYT
KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mengekalkan rentak dan strategi permainan seperti dipamerkan pada separuh masa pertama menentang Sri Pahang FC malam tadi untuk meraih kemenangan pada perlawanan Liga Super akan datang.
Kim Swee berkata semua pemain Sabah beraksi cemerlang dengan corak permainan bertenaga dan berupaya mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama malam tadi, namun kehilangan rentak pada separuh masa kedua.
"Kita bermain begitu baik pada separuh masa pertama tetapi pada separuh masa kedua kita hilang rentak dan ambil mudah. Ini perlu menjadi satu pengajaran bahawa apabila kita mendahului (perlawanan) kita tidak boleh selesa.
"Situasi (kehilangan rentak) hampir menghukum kita apabila pasukan Sri Pahang berjaya mendapat satu gol dan memberi tekanan tetapi kita bernasib baik dapat mengekalkan bahagian pertahanan selepas itu," katanya kepada pemberita selepas aksi Liga Super menyaksikan Sabah menewaskan Sri Pahang 2-1 di sini malam tadi.
Pada perlawanan di Stadium Likas, gol Sabah diperoleh menerusi Neto Pessoa dan Taiki Kagayama masing-masing pada minit ke-10 dan 18, manakala gol pelawat pada minit ke-60 melalui Manuel Hidalgo.
Susulan kemenangan itu, Sabah berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengumpul 18 mata selepas lapan perlawanan, kelebihan dua mata berbanding juara lapan kali berturut-turut liga tersebut yang mengutip 16 mata selepas enam perlawanan setakat ini.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang Christophe Gamel berkata walaupun pemainnya berjaya bangkit untuk mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua, mereka kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol sekali gus mencatat kemenangan ke atas pasukan lawan.
Sri Pahang mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60 selepas tonggak pertahanan Sabah FC Rizal Ghazali menjatuhkan Sean Giannelli dalam kawasan kotak penalti.
Sabah akan menentang Selangor FC pada 28 Jun depan manakala Sri Pahang akan berdepan Negeri Sembilan FC pada 25 Jun.
-- BERNAMA