Kim Swee ganti Dollah? Bila nak lantik jurulatih luar? - netizen

Syafique Shuib
September 6, 2015 04:04 MYT
Peminat bola sepak negara memberikan pandangan mereka susulan pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya. -Bernama
Pertukaran jurulatih bukan jalan penyelesaian susulan kekalahan memalukan pasukan negara 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis, luah peminat bola sepak tanahair di media sosial.
Ini merupakan reaksi mereka setelah ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya menggantikan Dollah Salleh.
Pandangan orang ramai ini dikongsi di laman Facebook milik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di mana mereka juga tertanya bila Malaysia akan menggunakan perkhidmatan jurulatih luar agar bola sepak negara diberi corak permainan yang baharu.
“Bila hendak ambil jurulatih luar. Sekurang-kurangnya ada taktikal dan ilmu baru yang boleh dipelajari pemain dan pegawai tempatan.
“Pemain kita main sama sahaja dan tidak akan berubah” kongsi Rijal Addin di Facebook.
Seorang lagi peminat bola sepak tanah air Ariff Nordin turut bersetuju dengan pandangan tersebut.
“Pakai jurulatih tempatan, corak permainan tidak akan berubah. Tahap pemain-pemain Malaysia tidak akan ke mana,” kata beliau.
Pengguna Facebook dengan nama Has Real berkongsi: “Sedangkan negara besar bola sepak pun pakai jururlatih luar, apa lagi Malaysia. Lainlah kalau Jerman, Sepanyol, Belgium dan Argentina. Mereka mempunyai kualiti tersendiri.”
Pada Khamis, Malaysia tewas 0-10 kepada kepada UAE pada perlawanan ketiga pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.
Dollah mengumumkan peletakan jawatan serta merta setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada Jumaat.
Namun, netizen turut berkata aspek kualiti pemain perlu dinilai juga dan tidak boleh menyalahkan jurulatih seratus peratus.
“Bukan salah jurulatih, tetapi salahkan pemain sebab kurang stamina. Jadi kena tukar pemain,” kongsi Roslinah Basari.
Iskandar Salleh berkata kesalahan bukan terletak kepada jurulatih, tetapi kepada pemain.
“Pemain tidak cukup kuat untuk main di peringkat antarabangsa. Enam bulan cukup untuk atasi masalah ini, kongsi beliau.
Kongsi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Arang Kayu: “Tahap stamina dan kemahiran pemain kita tidak setanding dengan negara luar. Kita boleh menang bila negara luar kesian tengok kita.”
Sementara itu, ada juga kata-kata semangat untuk Kim Swee.
“Ong Kim Swee boleh harap. Tunjuk kehebatan kamu sebagai jurulatih,” tulis Amin Bertabur.

Lebih bagus jikalau dato ong kim swee menjadi jurulatih bola sepak malaysia sepanjang kelayakan piala dunia dan afc @FAM_Malaysia

— AzHai (@hairezalaziz) September 5, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Dollah out. Ong Kim Swee in. Harap Ong Kim Swee pilih pertahanan yang betul.

— A // A (@lensa_rosak) September 4, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Kim Swee, 45, mendapat perkenan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
FAM menjelaskan pemilihan Kim Swee turut dibuat memandangkan beliau pernah mengendalikan skuad Harimau Malaya secara sementara selama empat bulan dari 3 Februari 2014 sehingga 28 Jun 2014 selepas badan induk itu memutuskan tidak menyambung kontrak Datuk K Rajagobal, yang tamat pada 31 Dis 2013.
Kenyataan yang sama turut menyebut Kim Swee menyatakan komitmen untuk melatih secara sementara skuad kebangsaan sehingga FAM menemui calon ketua jurulatih baharu yang sesuai.
#bola sepak #Dollah Salleh #FAM #harimau Malaya #harimau muda #Ong Kim Swee