Kilauan emas boling padang makin hampiri Emma
Astro Arena
April 6, 2018 13:59 MYT
April 6, 2018 13:59 MYT
Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji, mengakui berada di landasan tepat untuk menjelmakan kilauan emas buat kontinjen negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast selepas melakar kemenangan ketiga dalam acara perseorangan wanita, sebentar tadi.
Emma, yang menjadi pertaruhan terbaik skuad boling padang negara, mempamerkan aksi meyakinkan ketika menentang Pauline Blumsky dari Niue dalam pusingan ketiga.
Juara dunia 2015 itu mudah mendahului lawan 6-2 pada ends kelima dan 13-4 pada ends ke-10 sebelum terus menjarakkan kedudukan pada ends seterusnya.
Tamat ends ke-14 dengan kedudukan 21-5 memihak Emma, dia disahkan sebagai pemenang tanpa perlu menghabiskan kesemua ends dalam saingan ini.
Terdahulu, Emma melepasi pusingan pertama menewaskan pemain England, Katherine Rednall, 21-11 sebelum mengecewakan Litia Tikoisuva dari Fiji 20-19 dalam pusingan kedua.
"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi saya. Penetapan sasaran itu adalah pingat emas tetapi berdasarkan prestasi semasa ini, insya-Allah boleh pergi jauh," katanya.