Kian Meng umum keluar BAM
Astro Arena
Februari 12, 2021 09:00 MYT
Februari 12, 2021 09:00 MYT
KEJUTAN menjelang sambutan Tahun Baharu Cina apabila pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, mengambil keputusan untuk keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Terdahulu, BAM pada hujung minggu lalu mengumumkan pengguguran lima pemain senior daripada skuad kebangsaan, termasuk Lai Pei Jing, dan bercadang untuk menggandingkan Kian Meng dengan pasangan lebih muda.
Tetapi bagi Kian Meng, pengembaraannya bersama Pei Jing dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan masih berlum berakhir.
Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena semalam, dia berkata: "Saya sudah lama memikirkannya kerana walaupun peluang saya untuk ke Sukan Olimpik tidak besar, saya masih harap dapat kekal bersaing bersama Pei Jing.
"Kalau saya keluar (daripada BAM), peluang itu masih ada tetapi jika saya kekal, memang sah peluang itu sudah tiada.
"Saya masih mahu mencuba. Keputusan ini sememangnya sukar untuk dilakukan tetapi saya dan Pei Jing mempunyai sasaran tersendiri.
"Saya sudah bersedia walaupun sedar bukan senang untuk mencari penaja.
"Kami percaya kami masih boleh dan harap-harap akan dapat ke Sukan Olimpik," katanya.