Khairy tepis cadangan guna pemain naturalisasi

Bernama
November 15, 2017 22:05 MYT
Khairy Jamaluddin berucap pada Program Dialog TN50 : Aspirasi Belia CIMB 'Meneraju Perbankan dan Memacu Sukan di Malaysia' hari ini. --fotoBERNAMA
Ketika skuad bola sepak kebangsaan dikritik hebat susulan dua kekalahan pada aksi menentang Korea Utara pada Isnin lepas yang mengakibatkan anak buah Nelo Vingada gagal melepasi pusingan Kelayakan Piala Asia 2019, pelbagai cadangan dilontarkan untuk mengembalikan semula maruah bola sepak negara antaranya menggunakan pemain naturalisasi.
Namun cadangan itu pantas ditepis oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang berpendapat perubahan mutu bola sepak negara bukanlah boleh dilakukan dalam hanya satu malam tetapi ia melibatkan banyak perkara.
"Kita boleh dapatkan keputusan yang baik dalam masa yang singkat dengan menggunakan pemain naturalisasi, namun itu bukan jalan penyelesaian untuk meningkatkan mutu bola sepak tanah air.
"Ramai orang kata gunalah pemain naturalisasi, tapi bagi saya itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya pada sesi soal jawab Transformasi Nasional 50 (TN50) bersama belia CIMB di sini, hari ini.
Menurut beliau untuk mengubah secara total landskap bola sepak negara, ia memerlukan masa dan kerjasama pelbagai pihak.
"Dahulu kita ada menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia, jadi saya cadangkan pada tahun 2034 kita bida untuk jadi tuan rumah dan pada 2050 kita akan layak ke Piala Dunia kerana kita menjadi tuan rumah bersempena dengan TN50," katanya sambil berseloroh.
Pemain naturalisasi merupakan pemain yang memperoleh kewarganegaraan melalui tempoh masa mereka berada di negara ini atau mana-mana kriteria lain yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Sementara pemain berdarah campuran adalah pemain yang dilahirkan di Malaysia atau ibu bapa kandung mereka dilahirkan di Malaysia atau datuk atau nenek kandung mereka dilahirkan di Malaysia.
Mereka ini mempunyai hubungan susur galur di Malaysia.
Untuk rekod, skuad kebangsaan mempunyai beberapa pemain berdarah campuran antaranya Matthew Davies yang mewakili Pahang, Junior Eldstal (JDT), Brenden Gan (Kelantan) dan Kiko Insa (Pahang).
-- BERNAMA
#bola sepak #JDT #Khairy Jamaluddin #Korea Utara #landskap #Malaysia #Nelo Vingada #pemain naturalisasi #perubahan #Piala Asia #Piala Dunia
;