Khairy puji pengaruh besar atlet pelapis di Sukan SEA

Astro Arena
Jun 16, 2015 21:21 MYT
Atlet pelapis di Sukan SEA Singapura menyumbang kepada kejayaan negara meraih pencapaian terbaik sejak 2007.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan formula penyenaraian kelompok besar atlet pelapis di Sukan SEA Singapura menyumbang kepada kejayaan negara meraih pencapaian terbaik sejak 2007.
Kontinjen negara menutup tirai temasya edisi ke-28 dengan 62 emas, 58 perak dan 66 untuk 186 pingat keseluruhan daripada 329 acara disertai atlet negara.
Ia merupakan pencapaian terbaik negara selepas Sukan SEA 2007, dengan enam emas di belakang kejayaan semasa di Korat, Thailand.
Rata-rata penyumbang pingat pada kali ini melalui atlet muda negara, sekali gus memberi petanda keupayaan atlet negara pada edisi akan datang.
28 pingat emas yang diraih Malaysia adalah menerusi 151 atlet berumur 21 tahun ke bawah dengan membabitkan 60 penyertaan sulung atlet.
Khairy ketika sidang media penilaian prestasi kontinjen negara turut mengesahkan Sukan SEA kali ini memperlihatkan lonjakan disiplin sukan yang menyumbang emas sejak lima edisi lalu.
Penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang menerajui senarai atlet terbaik di Signgapura selepas menyumbangkan empat pingat emas, disusuli Rafiq Ismail dari sukan bowling dengan tiga emas dan atlet sukan memanah, Nurfatehah.
Malaysia mendominasi lapan sukan yang dipertandingkan, dengan terjun menuai lapan emas diikuti pelayaran tujuh.
Memanah, bowling dan skuasy juga antara acara yang mencuri perhatian dengan mengambil kira pungutan pingat lain.
##AyuhMalaysiaKu #Khairy Jamaluddin #Malaysia #Singapura #Sukan SEA
;