Khairy optimis dengan skuad badminton generasi baru

Astro Arena
Mei 25, 2016 09:59 MYT
Khairy Jamaluddin melontarkan keyakinan dengan perancangan jangka panjang pengarah teknikal BAM Morten Frost. - Gambar fail
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin optimis skuad badminton kebangsaan mampu membentuk barisan ampuh untuk Piala Thomas 2018.
Bagi Khairy, barisan negara yang tewas di separuh akhir Piala Thomas tahun ini, adalah pasukan yang kini dalam tempoh peralihan.
Khairy melontarkan keyakinan dengan perancangan jangka panjang pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost.
“Selepas ini generasi baru akan mengambil alih. Saya sudah berbincang dengan Morten Frost sebelum mereka berlepas ke Kunshan, China dan dia berkata ini merupakan kali terakhir barisan ini akan ditampilkan.
“Skuad 2018 kita akan pertaruh pemain muda dan barisan baru tetapi ini semua termasuk dalam pelan jangka panjang.” Kata Khairy.
Khairy turut berpuas hati dengan peningkatan pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain.
Bagi Khairy, pendedahan Iskandar pada saingan Piala Thoms kali ini akan hanya mematangkan lagi permainannya.
“Iskandar menampilkan peningkatan yang sangat menakjubkan dari segi kedudukan dunia dan dia merupakan pemain yang berjaya pamer peningkatan drastik tahun ini dan sebab itu Frost memilihnya untuk bersaing dan memberi peluang dan pendedahan kepadanya.
“Itu petanda bahawa lebih banyak peluang diberikan, pastinya mereka pamer peningkatan,” katanya.
#Khairy Jamaluddin #skuad badminton #Thomas Cup
;