Khairy mahu atlet negara kekalkan prestasi cemerlang di peringkat dunia
Bernama
Mac 13, 2018 06:08 MYT
Mac 13, 2018 06:08 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu atlet negara meneruskan kecemerlangan sukan di peringkat dunia.
Khairy menerusi ucapannya pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) malam tadi memuji pelbagai kejayaan yang diraih atlet negara sepanjang saingan tahun lalu termasuk kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu.
"Cheong Jun Hoong membuktikan tiada apa yang mustahil di dunia, termasuk keupayaannya merobohkan Tembok Besar China setelah dinobatkan juara dunia acara 10 meter platform wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest," katanya.
Khairy berkata selepas sekian lama menanti, sukan berbasikal negara pula akhirnya menyaksikan juara dunia pertama berjaya dilahirkan menerusi pelumba trek, Azizulhasni Awang.
"Pada kejohanan berbasikal trek dunia di Hong Kong tahun lalu, atlet dari Terengganu ini membuktikan kita mampu menjadi juara dengan semangat dan disiplin yang baik, sungguhpun fizikal kita berbeza dengan pelumba dunia yang lain.
"Arena tenpin boling negara menutup tirai 2017 dengan pencapaian membanggakan oleh pasukan tenpin boling wanita Malaysia apabila muncul juara kategori berpasukan di Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas akhir tahun lalu," katanya.
Mohd Azizulhasni dan Jun Hoong malam tadi dinobatkan olahragawan dan olahragawati 2017 manakala Muhammad Ziyad Zolkefli menerim anugerah olahragawan paralimpik 2017.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan anugerah kepada olahragawan dan olahragawati negara.
Khairy turut memuji kejayaan atlet negara lain termasuk skuad hoki lelaki negara yang menempah slot ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, Disember depan. -- Bernama