Khairy beri amaran kepada persatuan sukan
Bernama
Disember 21, 2016 14:14 MYT
Disember 21, 2016 14:14 MYT
Semua persatuan sukan dituntut supaya meletakkan kepentingan nasional dalam kalangan atlet masing-masing dalam menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut memberikan amaran kepada semua persatuan sukan supaya mengenepikan soal politik dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam memilih atlet terbaik untuk dua temasya dwitahunan itu.
Khairy berkata semangat nasional sangat penting dalam kalangan atlet jika mahu Malaysia selaku tuan rumah muncul juara keseluruhan Sukan SEA yang akan berlangsung pada 19-31 Ogos depan.
Sasaran bagi Sukan Para ASEAN pula adalah kedudukan dua terbaik pada 17-23 Sept depan.
"Kebanyakan persatuan sukan memberikan kerjasama baik tetapi masih ada satu-dua persatuan yang bermasalah. Jadi kesempatan ini saya ingin ingatkan mereka bahawa kepentingan nasional merupakan matlamat utama Sukan SEA dan Para ASEAN, bukannya pilih kasih dan politik persatuan.
"Kepentingan nasional perlu mengatasi segala-galanya dan saya bersedia untuk campur tangan mengikut peraturan yang ada pada saya bagi memastikan mereka akur dengan kepentingan nasional," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan amanat kepada kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN edisi 2017 di Hotel Renaisance malam tadi.
Khairy juga mahu persatuan dan jurulatih mempunyai komunikasi yang baik dengan menerima pendapat atlet masing-masing dan bukan melakukan keputusan sendiri.
"saya harap ada komunikasi yang jelas dalam kalangan atlet, jurulatih dan persatuan sukan. Atlet sekarang bukan seperti dulu, mereka adalah lulusan universiti," katanya. - BERNAMA