Khairy atau proksi menteri akan menang jawatan presiden FAM - TMJ
Bernama
Februari 10, 2017 22:04 MYT
Februari 10, 2017 22:04 MYT
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjangkakan perebutan kerusi panas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal dimenangi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau proksinya.
Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata ketika ini beliau tidak terfikir untuk menerima pencalonan Presiden FAM kerana sedang bekerja keras untuk membeli sebuah kelab bola sepak di luar negara.
Menurut satu temu bual yang disiarkan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berpendapat Khairy atau proksi menteri boleh memenangi jawatan itu.
"Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil, dan jaga kelab kecil.
"Buat masa ini tidak terfikir (menerima pencalonan) lagi kerana saya bekerja keras untuk beli sebuah kelab luar negara, kemungkinan di Eropah," menurut sesi temu bual seorang wartawan bersama Tunku Ismail itu.
Tunku Ismail adalah antara empat nama yang dicalonkan untuk jawatan itu. Tiga yang lain adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat serta Khairy.
Bagaimanapun, setakat hari ini hanya Annuar seorang sahaja mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut apabila secara rasmi menghantar borang pengesahan pencalonan.
Semua calon itu perlu mengesahkan pencalonan mereka selewat-lewatnya Isnin depan sebelum senarai akhir calon yang akan bertanding diumumkan pada Mesyuarat Exco FAM, 20 Feb ini. -- Bernama