Khairul Idham tamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan saingan Moto3

Bernama
Oktober 30, 2016 22:02 MYT
Aksi pelumba negara dari pasukan Honda Team Asia Khairul Idham Pawi (kiri) pada saingan Moto3 Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. -- fotoBERNAMA
Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menamatkan perlumbaan di Grand Prix Motosikal Malaysia di kedudukan kelapan selepas bermula pada petak ke-20 hari ini.
Walaupun bermula dari petak belakang, Khairul Idham tidak kenal erti putus asa yang terus mengasak pelumba lain pusingan demi pusingan untuk memperbaiki kedudukannya.
"Saya berasa sangat gembira pada hari ini, keyakinan saya kepada jentera saya sanga tinggi dan itu yang membuatkan saya berani untuk mencabar pelumba di hadapan.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian saya pada musim pertama saya di saingan Moto3 ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Perlumbaan yang dibayangi dengan sekurang-kurangnya enam kali kemalangan itu turut membabitkan pelumba negara iaitu Adam Norrodin dari pasukan M7 SIC Racing Team yang terkeluar sejak dari pusingan pertama.
"Saya berasa sangat kecewa kerana tidak dapat melakukan yang terbaik di laman sendiri. Maaf pada yang hadir hari ini dan ia agak mengecewakan," kata pelumba berusia 18 tahun itu yang kini hanya berbaki satu perlumbaan saja lagi iaitu di Litar Valencia, 13 November ini.
Adam terjatuh di pusingan pertama selekoh keenam bersama beberapa pelumba dan biarpun beliau cuba untuk meneruskan perlumbaan, nasib jelas tidak memihak padanya apabila sekali lagi terjatuh di selekoh ketujuh.
Seorang lagi pelumba 'wildcard' negara Hafiq Azmi dari pasukan Peugeot MC Saxoprint menamatkan kedudukan di tempat ke-11. -- Bernama
#Grand Prix Motosikal Malaysia #Khairul Idham Pawi #Moto3 #pelumba negara
;