Khairul Idham Pawi: Antara litar basah, mi segera, dan Padang Kota Lama
Nizam Bakeri
Ogos 2, 2016 11:44 MYT
Ogos 2, 2016 11:44 MYT
KHAIRUL Idham Pawi berkunjung ke Petronas AAM Malaysian Cub Prix Teluk Intan untuk sesi bertemu peminat anjuran Honda, Sabtu lalu.
Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai Kip dalam arena permotoran, dikerumuni peminat yang tidak melepaskan peluang merakam selfie dan mendapatkan autografnya.
Tampil dengan kemeja-T, jeans, dan topi, Kip tidak terlalu berbeza dengan para peminat remajanya.
Sekali imbas, tidak ada yang menyangka anak jati Perak ini merupakan satu-satunya pelumba Moto3 pada penampilan sulung musim 2016 yang berjaya menaiki podium.
Sebanyak dua kali. Pada perlumbaan di litar basah yang diketahui sukar.
Astro AWANI mendekati Khairul Idham Pawi melalui temubual ini:
AWANI: Kip mendahului Navarro 26 saat di Argentina dan Locatelli 12 saat di Jerman. Jarak yang jauh. Apa perasaan KIP sebaik sahaja melintasi garisan penamat?
Khairul Idham Pawi: Semasa menang di Jerman, saya macam tak percaya. Saya sangat bersyukur. Di hujung perlumbaan, saya cuma nampak garisan penamat dan ahli pasukan. Mereka sangat penting.
Kebanyakan atlet ada ritual sendiri sebelum beraksi. Apa Kip buat sebelum berlumba?
Saya melafazkan Bismillah setiap kali sebelum masuk litar. Saya akan berdiam diri dan tenangkan fikiran sebaik sahaja menunggang motosikal. Saya tidak akan bercakap dengan sesiapa. Ahli pasukan saya pun dah faham.
Kip masih ingat perlumbaan profesional pertama yang disertai?
Ingat. Di Padang Kota Lama. Saya berdebar sebab lihat ramai yang bersaing. Semua orang cuba memotong antara satu sama lain.
Siapa pelumba Moto GP kegemaran?
Marc Marquez. Dia pelumba yang agresif. Saya suka tekniknya. Dia agresif dan pandai cari peluang untuk memotong pihak lawan.
Kip ke seluruh dunia untuk berlumba. Selain telefon, dompet, pasport, dan penerbangan, apa benda wajib yang pasti ada dalam beg Kip jika ke luar negara?
Saya akan bawa dua pasang kasut dan mi segera (ketawa). Senang nak makan di sana nanti.
Kasut apa yang Kip bawa?
Kasut jogging. Saya mesti jogging untuk panaskan badan jika berlumba di negara sejuk. Badan mesti berpeluh. Saya pernah cuba berlumba tanpa panaskan badan. Rasa kurang bertenaga.
Apa perbezaan sebenar antara litar basah dan litar kering?
Litar basah kurang cengkaman. Memang susah. Terutama sekali di selekoh. Pelumba mudah jatuh. Saya pun sudah jatuh banyak kali.
Apa usaha Kip untuk terus cemerlang bukan sahaja di litar basah, tetapi dalam apa jua keadaan cuaca?
Saya memang sedang berusaha keras. Teruskan latihan. Matlamat saya pastinya untuk layak ke MotoGP. Saya tahu itu sukar, tapi saya tetap akan cuba.
Ramai remaja yang jadikan Kip idola. Mereka juga mahu ada karier seperti Kip. Apa nasihat kepada mereka?
Kalau mereka benar-benar berminat, boleh semak laman Facebook Malaysian Cub Prix. Pada awal tahun, biasanya ujibakat yang diadakan.
Jadi untuk tahun 2017, boleh rujuk di situ untuk pengumuman dan butiran lanjut. Tonjolkan bakat dan berlatih.