Khairul Hafiz raih emas 200m, Muhammad Aqil lakar kejutan

Bernama
Julai 29, 2016 11:34 MYT
Khairul Hafiz Jantan (gambar) sekali lagi memperbaharui rekod kejohanan acara 200 meter Sukma apabila mencatat masa 21.03 saat pada final di Stadium Sarawak. -Gambar fail
Pelari pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan sekali lagi memperbaharui rekod kejohanan acara 200 meter Sukma apabila mencatat masa 21.03 saat pada final di Stadium Sarawak di sini, pagi ini.
Ini kali kedua dalam tempoh kira-kira 18 jam untuk atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu memecahkan rekod berusia 14 tahun milik Raja Pecut Sukan SEA 2003, Nazmizan Mohammed dari Terengganu selepas mencatat 21.14s di separuh akhir petang semalam.
Rekod terdahulu Nazmizan ialah 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah.
Sementara itu, peserta dari Selangor, Muhammad Aqil Yasmi mengejutkan pelari pilihan seperti Badrul Hisyam Abdul Manap dari Melaka dan wakil tuan rumah, Jonathan Nyepa untuk meraih perak dengan catatan 21.31s.
Jonathan pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menamatkan larian dalam masa 21.34s, manakala Badrul Hisyam hanya sekadar mampu mendapat tempat keempat dengan catatan 21.56s.
#200 meter #Khairul Hafiz Jantan #Nazmizan Mohammed #SUKMA
;