Khairul Hafiz ketuai cabaran Kejohanan Remaja Dunia
Astro Arena
Jun 14, 2016 21:34 MYT
Jun 14, 2016 21:34 MYT
EMPAT atlet olahraga negara, diketuai juara 100 meter remaja Asia, Khairul Hafiz Jantan, mengambil risiko besar apabila bersetuju menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Poland dan selepas itu beraksi pula dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, bulan depan.
Saingan di Poland akan tamat pada 24 Julai, iaitu dua hari sebelum acara olahraga Sukma Sarawak bermula.
Namun, risiko itu sanggup diambil mereka demi menggalas tanggungjawab negara dan negeri.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam mesyuarat khas di Bukit Jalil, hari ini.
"Ini semua telah dijelaskan sebaik mungkin kepada jurulatih dan atlet. Mereka sendiri telah bersetuju dengan sokongan yang akan kami berikan.
"Mereka sedia maklum risiko-risiko yang bakal dihadapi. Kami hargai pengorbanan dan kesediaan mereka untuk menyertai kejohanan remaja tersebut," katanya.
Perancangan sudah diatur apabila setiap atlet yang menamatkan acara akan terus berangkat ke Sarawak.
Khairul dan Badrul Hisham Abd Manap yang akan menyertai acara 100m, dijadual pulang ke Malaysia pada 21 Julai, begitu juga dengan pelari 110m berpagar, Mohd Rizzua Haizad Muhamad.
Atlet lompat kijang wanita, R. Kirthana, akan pulang paling lewat, iaitu pada 23 Julai, tiga hari sebelum acara olahraga Sukma Sarawak bermula.
"Kami tidak kata kami akan mencuba sahaja. Tapi ini adalah langkah untuk membawa mereka ke tahap kejohanan yang lebih tinggi dan melihat sama ada mereka boleh berjaya (dalam sesuatu kejohanan) dalam tempoh singkat.
"Atlet seperti Usain Bolt juga sering menjelajah ke serata dunia," ujar Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.
Atlet dan jurulatih negara akan berangkat ke Poland lebih awal, iaitu pada 5 atau 6 Julai, untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana.