Khairul Hafiz idam emas berganda Sukan SEA
Bernama
Julai 19, 2017 10:10 MYT
Julai 19, 2017 10:10 MYT
Selepas memecahkan rekod acara 100 dan 200 meter (m) kebangsaan, Raja Pecut negara Khairul Hafiz Jantan seterusnya mengidam emas berganda dan rekod Sukan SEA pada Ogos ini.
Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu mahu mencipta 'kejutan besar' dalam acara olahraga yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, bermula dari 22-26 Ogos depan.
Pada malam ini, beliau berjaya memecahkan rekod 200m berusia 49 tahun milik bekas jaguh pecut negara Tan Sri Dr M. Jegathesan (10.92 saat) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 selepas mencatatkan 20.90s di sini.
Hanya setahun yang lalu, beliau memecahkan rekod kebangsaan acara 100m milik Watson Nyambek (10.30s) selepas mencatatkan 10.18s di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, Julai lalu.
"Ini merupakan kejayaan yang sangat bermakna bagi saya, hampir 49 tahun rekod ini tidak dipecahkan dan akhirnya saya berjaya mengatasinya. Saya memang tak jangka dapat memecahkan rekod ini.
"Memang bersemangat ke Sukan SEA...selepas ini kena ikut latihan dan nasihat jurulatih, Mohd Poad Md Kassim untuk terus meningkatkan prestasi saya," kata Khairul kepada pemberita selepas upacara penyampaian hadiah.
Catatan masa itu juga mengatasi rekod kejohanan 20.94s milik Kento Terada dari Jepun yang dicatatkan pada edisi 1996 di Kangar.
Pingat perak menjadi milik Jonathan Nyepa dari Sarawak yang mencatatkan 21.29s manakala atlet Perak G. Aravinn Thevar membawa pulang gangsa dengan catatan 21.31s pada kejohanan itu, yang turut dikenali sebagai Kejohanan PraSukan SEA.
Apabila ditanya mengenai rahsia di sebalik kejayaan beliau, Khairul berkata, "tawakal, solat...saya banyak berdoa kepada tuhan kerana Dia yang tahu kesusahan kita."
Sementara itu, Md Poad berkata beliau akan memastikan Khairul meneruskan fokusnya untuk mencapai misi pingat emas berganda pada temasya dwitahunan itu bulan depan.
"Sebenarnya Khairul boleh lari lebih laju daripada ini tetapi kami hanya sasar 20.90s hari ini. Dia merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan patuh kepada arahan jurulatih dan ibu bapa.
"Keyakinan diri beliau berada pada tahap yang tinggi sekarang setelah mempelajari daripada kesilapan 'fault start' di Kejohanan Asia di India. Insya-Allah beliau dapat meraih emas berganda pada Sukan SEA nanti," katanya.
-- BERNAMA