Khairul Hafiz, Haiqal bakal dibimbing Miller

Bernama
Ogos 17, 2020 17:47 MYT
Keputusan itu bakal menyaksikan dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan (KL 2017) dan Muhammad Haiqal Hanafi (Filipina 2019) berjauhan daripada jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim. - Gambar fail
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merancang untuk menempatkan secara berpusat semua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian pengarah teknikalnya, Dwayne Miller di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Keputusan itu bakal menyaksikan dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan (KL 2017) dan Muhammad Haiqal Hanafi (Filipina 2019) berjauhan daripada jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim yang mengajar di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar berkata pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan barisan atlet dan jurulatih yang terlibat, dengan proses perpindahan dijangka selesai dalam masa dua minggu.
"Kita mahu atlet elit berlatih di bawah Miller seperti ditetapkan sebelum ini. Beliau mempunyai kepakaran dan kita juga membayar gaji yang tinggi kepadanya, malah beliau juga bersedia untuk melatih lebih banyak atlet.
Kita akan bincang dengan Poad kerana mahu situasi menang menang, tak nak rampas atlet. Secara peribadi saya berharap mereka dapat turun berlatih di Bukit Jalil supaya dapat berlatih sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara di sini, hari ini.
Selain dua atlet berkenaan, pelari pecut elit Malaysia yang lain sedang mengikuti latihan di Bukit Jalil di bawah kendalian Miller, dibantu Jurulatih Kebangsaan, M Balamurugan.
Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.
Mumtaz berkata KOM juga dalam proses merancang untuk menganjurkan kejohanan tertutup dengan hanya melibatkan atlet elit, pelapis dan Sukan Malaysia bagi menguji tahap prestasi mereka setelah latihan terjejas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil menjelaskan penting buat atlet pecut berpusat di MSN sebagai satu pasukan supaya mereka dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan adanya kerjasama dan persaingan sihat, selain dapat memperkuatkan kuartet 4x100m negara.
"Kita bukannya mahu menidakkan kewibawaan Poad, beliau telah lahirkan atlet-atlet negara yang terbaik, boleh katakan beliau jurulatih pecut negara yang terbaik. Kita pernah mencadangkan supaya Poad ditukarkan ke Bukit Jalil, tetapi beliau tidak dapat datang kerana sebab-sebab tertentu.
Atlet bersedia untuk berhijrah ke sini, bagaimanapun, kita akan membuat perbincangan melibatkan MSN, atlet dan jurulatih agar semua pihak faham mengenai hala tuju kita. Sekarang pun mereka sedang menjalani latihan khas selama dua minggu di bawah Miller sebagai proses transisi," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #dwayne miller #Kesatuan Olahraga Malaysia #Khairul Hafiz Jantan #kom #Majlis Sukan Negara #Mohd Poad Md Kassim #Muhammad Haiqal Hanafi #Olimpik #PKP
;