Khairul Anuar mara ke pusingan ketiga penuh debaran

Bernama
Julai 28, 2021 13:06 MYT
Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad ketika beraksi pada pusingan 1/32 acara Recurve Individu Lelaki pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Yumenoshima Final Field hari ini. - fotoBERNAMA
TOKYO: Aksi mendebarkan disajikan di Lapangan Memanah Yumenoshima sebelum jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad menempah slot ke pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Pemanah berusia 29 tahun itu yang menghuni ranking ke-15 dunia, terpaksa mengharungi dua saingan 'shoot-off' atau satu panahan penentuan dalam aksi penuh dramatik, apabila terikat 5-5 selepas lima set berdepan kedua-dua lawannya itu.
Pada kedua-dua aksi penentuan tersebut, Khairul Anuar yang terkandas pada pusingan kedua pada temasya edisi Rio 2016, melakukan panahan 10 mata maksimum.
Khairul Anuar dijadual beraksi pada pusingan ketiga pada 31 Julai (Sabtu).
Pada saingan pusingan pertama pagi tadi, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengatasi Antti Vikstrom dari Finland sebelum meneruskan aksi bertenaga di pusingan kedua untuk mengetepikan cabaran pemanah China, Wang Dapeng.
Ketika ditemui pemberita, Khairul Anuar bersyukur untuk mara ke pusingan ketiga walaupun terpaksa beraksi pada panahan set penentuan, namun menyatakan banyak perlu diperbaiki apabila turun pada Sabtu ini.
"Alhamdulillah, kedua-dua perlawanan hari ini saya menang walaupun sampai (bersaing) ke 'shoot-off'. Namun, prestasi saya masih kurang kerana fokus saya sedikit terganggu pada kedua-dua saingan tersebut.
"Untuk perlawanan seterusnya (pusingan ketiga), saya perlu lebih fokus kepada panahan. Malah, dalam kedua-dua perlawanan hari ini, saya beritahu jurulatih, panahan saya sedikit terganggu dan perkara itu perlu saya tekankan pada perlawanan akan datang," katanya.
Mengenai saingan pusingan pertama itu, Khairul Anuar berkata setelah ketinggalan 3-5, beliau bernasib baik kerana peralatan memanah lawannya dari Finland itu mengalami masalah, sekali gus menyaksikannya mengikat kedudukan 5-5.
"Pada aksi hari ini, mustahil kalau saya katakan tidak tertekan, namun jika saya dapat beri 100 peratus tumpuan terhadap shooting (panahan), ada jua tekanan dan keadaan angin, Insya-Allah saya boleh atasi," katanya.
"Masalah peralatan memanah pihak lawan itu yang patah, saya boleh katakan itu rezeki saya untuk mara ke pusingan kedua.
"Di pusingan kedua, saya bermula baik pada tiga set pertama, namun pada set empat dan lima, saya sedikit hilang fokus. Tetapi semasa panahan penentuan, jurulatih beritahu saya perlu lebih fokus pada shooting (panahan), Alhamdulillah saya dapat melakukannya," kata beliau.
Khairul Anuar berkata pada peringkat 16 pemanah terbaik (ketiga) Sabtu ini, beliau berharap dapat kekal fokus sehingga penghujung saingan untuk meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.
-- BERNAMA
#Tokyo Olimpik 2020 #Khairul Anuar Mohamad #Recurve Individu Lelaki #Antti Vikstrom #Finland
;