Khairil Aslan sifatkan laluan Pangkor mencabar

Bernama
April 19, 2017 07:00 MYT
Khairil Aslan Ab Rasid berkayuh sejauh 30 kilometer untuk hari keempat sebelum bermalam di Masjid Seribu Selawat Al-Badr (Masjid Terapung) dekat Teluk Gadung pada Rabu, 19 April, 2017. --fotoBERNAMA
Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid yang sedang melakukan kayuhan solo menjelajah Semenanjung Malaysia, menyifatkan laluan di Pulau Pangkor pada Rabu antara paling sukar dan mencabar sepanjang misinya yang bermula 16 April lepas.
Khairil Aslan, 42, berkata dia terpaksa berhempas pulas meneruskan kayuhan biarpun berdepan dengan jalan berbukit yang mempunyai tahap kecuraman sehingga 45 ke 50 darjah.
"Laluan di Pulau Pangkor ini memang tidak memberi saya peluang berehat kerana laluannya sukar melibatkan lebih lima bukit yang terpaksa saya harungi selain faktor cuaca panas terik.
"Ini antara jelajah paling sukar seumur hidup saya untuk kayuhan bermuatan 60 kilogram kerana jalannya yang berbahaya. Namun saya bersyukur saya selamat mengharunginya hari ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Rabu.
Khairil Aslan tiba di Pulau Pangkor kira-kira 1 petang Rabu di Masjid Al Badr Seribu Salawat di Teluk Gedung, sebelum melakukan kayuhan mengelilingi pulau berkenaan pada 5 petang.
Beliau menamatkan kayuhan pada 7.30 malam, selepas berjaya mengelilingi Pulau Pangkor melibatkan jarak sejauh 23.5 kilometer meliputi kawasan Pekan Pangkor, Teluk Nipah, Pasir Bogak dan Teluk Dalam.
Menceritakan mengenai kayuhannya semalam, Khairil Aslan berkata antara kawasan paling mencabar adalah di Teluk Dalam kerana jalannya yang berliku dan berbukit menyebabkan basikalnya sukar bergerak ke hadapan.
"Basikal saya seperti mahu mengundur, tetapi dengan pengalaman dan kudrat yang ada saya dapat mengawalnya dan terus bergerak ke hadapan," kata bapa kepada empat anak itu.
Khairil Aslan berkata bagi kayuhan seterusnya, beliau akan ke Pantai Remis kira-kira 40 kilometer dari sini pada 9 pagi Khamis, sebelum bermalam di Masjid Kampung Sungai Batu, Pantai Remis.
Ekspedisi selama 30 hari sejauh kira-kira 2,700 kilometer itu bermula pada 16 April lalu di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi dan bakal berakhir di masjid yang sama pada 12 Mei depan.
Kayuhan bertemakan ''Dari Masjid Ku Menjelajah 2017'' adalah sebagai latihan beliau untuk menyertai ''Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki'' selama 67 hari bermula Jun ini.
Khairil Aslan, yang berasal dari Batu Kurau, Perak, pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015.
Beliau juga mencipta rekod sebagai antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk. -- BERNAMA
#kayuhan basikal #Khairil Aslan Ab Rasid #lumba basikal #pendaki solo
;