'Khabib sudah 100% bersara... terima kasih untuk segalanya, sahabatku' - Dana White
Haider Yutim
Mac 19, 2021 13:21 MYT
Mac 19, 2021 13:21 MYT
TEKA-TEKI sama ada bintang MMA Khabib Nurmagomedov akan kembali beraksi di Octagon atau tidak, kini sudah terjawab.
Presiden UFC Dana White dalam kenyataan terbaharunya mengesahkan bahawa juara lightweight dunia itu sudah bersara secara rasmi dari sukan tersebut.
“Dia sudah 100% secara rasminya bersara. Menyaksikan anda beraksi, sesuatu yang luar biasa.
“Terima kasih untuk segalanya dan nikmati apa sahaja (untuk anda) selepas ini, sahabatku,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya sebentar tadi.
Susulan itu, gelaran lightweight UFC yang dipegang oleh Khabib kini akan dikosongkan.
Memetik laporan ESPN, pertarungan bagi merebut kejuaraan lightweight akan diadakan di antara Michael Chandler dan Charles Oliveira.
Menurut White, pertarungan itu akan diadakan pada acara UFC 262, 15 Mei nanti.
Untuk rekod, Chandler merupakan bekas juara tiga kali untuk divisyen lightweight dalam Bellator MMA.
Selepas menyertai UFC pada 2020, Chandler (22-5) membuat penampilan sulungnya pada Januari lalu dan menundukkan lawannya, Dan Hooker dalam hanya 2 minit 30 saat, pusingan pertama.
Sementara bagi Oliveira pula, pada ketika ini dia mempunyai rekod yang agak cemerlang dengan lapan kemenangan berturut-turut.
Kali terakhir Oliveira (30-8) bertarung ialah dengan Tony Ferguson pada Disember tahun lalu, di mana dia berjaya menewaskan bekas juara lightweight interim itu menerusi keputusan sebulat suara selepas tiga pusingan.
Dalam aksi UFC 254 pada Oktober tahun lalu, Khabib, 32, berjaya mengekalkan kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan Justin Gaethje dari Amerika Syarikat.
Acara yang berlangsung di UFC Fight Island, Abu Dhabi itu menyaksikan Khabib menumpaskan Gaethje menerusi kuncian ‘triangle choke’ pada minit 1:34 pusingan kedua.
Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod cemerlang Khabib dengan 29 kemenangan tanpa kalah (29-0).
Bagaimanapun, sejurus selepas pertarungan, Khabib mengejutkan peminat dengan mengumumkan persaraannya dari sukan MMA.
Petarung kelahiran Dagestan, Rusia itu mendedahkan, keputusan tersebut diambil kerana telah berjanji dengan ibunya bahawa pertarungannya dengan Gaethje adalah pertarungannya yang terakhir.
Berikutan prestasi cemerlangnya, Khabib turut mengambil alih tempat pertama dalam ranking ‘pound-for-pound’ UFC, menggantikan petarung Amerika Syarikat, Jon Jones yang kini di tempat kedua.
#Khabib Nurmagomedov
#UFC
#Dana White
#bersara
#juara lightweight
#MMA
#Michael Chandler
#Bellator MMA
#Mixed Martial Arts
#Charles Oliveira