Khabib dan keluarga pilih Mekah sambut kedatangan Syawal
Hilmi Ismail
Jun 4, 2019 17:22 MYT
Jun 4, 2019 17:22 MYT
JUARA lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov memilih untuk menghabiskan penghujung Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal di tanah suci Mekah, Arab Saudi.
Khabib, 30 tahun dipercayai tiba di Mekah untuk menunaikan ibadah umrah beberapa hari lepas selepas memuat naik gambarnya yang lengkap berihram di laman Instagram miliknya.
Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov juga dilihat berada di sana bersama Khabib.
Selain Khabib dan bapanya, beberapa petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Dagestan, Rusia turut berada Mekah ketika ini - antaranya Islam Makhachev, Zabit Magomedsharipov, Usman Nurmagomedov, Umar Nurmagomedov dan Tagir Ulanbekov.
Khabib kini sedang menjalani ibadah puasa, dan sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.
Dia didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.
#akhir Ramadan
#Dagestan
#Islam Makhachev
#juara lightweight UFC
#Khabib Nurmagomedov
#Mekah
#Mixed Martial Arts
#MMA
#seni bela diri campuran
#syawal
#UFC