KFA sentiasa berusaha bantu selesai isu kewangan KDA FC

Bernama
September 19, 2024 17:42 MYT
Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sentiasa berusaha dan komited mencari jalan menyelesaikan isu yang dihadapi pasukan itu.
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyangkal dakwaan kononnya mereka mengambil sikap lepas tangan dan tidak membantu pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menghadapi masalah kewangan sehingga mencetuskan isu tunggakan gaji.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din berkata sebaliknya kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sentiasa berusaha dan komited mencari jalan menyelesaikan isu yang dihadapi pasukan itu.
"Saya menafikanlah kalau kata kerajaan negeri tak bantu langsung, kita tak bolehlah bantu sampai peringkat sepenuhnya sebab gaji ini daripada kelab, yang itu di pihak pemiliknya, dia kena urus yang itu.
"Namun, untuk makluman, kita masih berusaha dan berbincang dengan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (pemilik KDA FC) dan pihak KDA FC, kita tak boleh maklumlah, nak kata tak bantu tu tak betullah sebab lesen untuk layak masuk bertanding liga adalah hasil sumbangan negeri melalui KFA," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahaan Bendera Kepada Kontinjen Negeri Kedah Sempena Para Sukan Malaysia (Para SUKMA XXI) Sarawak 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan isu tunggakan gaji melanda pasukan Skuad Hijau Kuning sehingga pemain memboikot sesi latihan sejak awal bulan ini, namun mereka kembali menjalani latihan semalam sebagai persiapan aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC malam esok.
Dalam pada itu, Muhammad Radhi berkata sasaran memenangi 15 pingat emas, 17 perak dan 16 gangsa oleh kontinjen Kedah di Para SUKMA XXI mampu dicapai setelah melihat prestasi atlet dalam kejohanan sepanjang tahun ini.
"Kita menyasarkan 15 pingat emas dan berharap dapat melebihi sasaran berdasarkan pengamatan dan program latihan dijalankan, saya yakin Kedah mampu buat sesuatu seperti yang disasarkan kontinjen," katanya.
Pada temasya kali ini, Kedah menghantar 73 atlet dan 36 pegawai untuk beraksi dalam enam daripada 10 acara dipertandingkan iaitu memanah, olahraga, badminton, powerlifting, renang dan tenpin boling.
-- BERNAMA
#KDA FC #masalah kewangan #kerajaan Kedah #Muhammad Radhi Mat Din #tunggakan gaji
;