KFA pertimbang naikkan harga tiket perlawanan bola di Stadium Darul Aman

Bernama
November 15, 2016 07:48 MYT
Penyokong bola pasukan Kedah beratur untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di perkarangan Stadium Darul Aman pada 26 Oktober, 2016. - fotoBERNAMA
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mempertimbang untuk menaikkan harga tiket perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman mulai tahun hadapan, sidang Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.
Exco Sukan Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata kenaikan harga tiket itu tidak akan membebankan semua pihak terutama para penonton.
"Di Stadium Darul Aman, harga tiket yang dijual adalah yang paling murah dalam dunia. Ini boleh disemak dengan mana-mana stadium yang ketika ini tiket dijual pada harga RM10, RM16 dan RM22," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha KFA berkata demikian bagi menjawab soalan Mahadzir Abdul Hamid (BN-Jeneri) yang ingin tahu mahu tahu sama ada KFA akan mengkaji semula harga tiket yang dijual di Stadium Darul Aman.
Aminuddin turut beliau berkata KFA masih dalam pertimbangan untuk mempertingkatkan kuota jualan tiket atas talian bagi perlawanan tertentu, kerana ia perlu mengambil kira pelbagai faktor antaranya sistem ketelusan penjualan tiket atas talian yang membolehkan penyokong pasukan lawan untuk monopoli pembelian tiket.
"Kapasiti Stadium Darul Aman sendiri yang cuma mempunyai 25,000 tempat duduk yang diinsuranskan perlu juga diambil kira selain kekangan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar," katanya.
Menjawab soalan asal Mahadzir, Aminudin berkata sepanjang musim 2016, sebanyak 312,710 keping tiket telah dikeluarkan membabitkan 20 perlawanan di Stadium Darul Aman termasuk perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Menjawab pula soalan Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau), Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan khusus untuk memperbesarkan kapasiti tempat duduk penonton di Stadium Darul Aman, bagaimanapun tumpuan diberikan kepada aspek pencerahan stadium.
"Mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), limpahan cahaya lampu di sesebuah stadium mesti pada 1,400 lux berbanding 1,200 lux sebelum ini, dan untuk mencapai kecerahan tersebut dalam padang, kita perlu naik taraf lampu stadium," katanya. -- BERNAMA
#aminuddin omar #harga tiket #KFA #persatuan bola sepak kedah #Stadium Darul Aman