KFA langsai baki tunggakan gaji pemain selama tiga bulan
Adie Sufian Zulkefli
September 27, 2020 17:22 MYT
September 27, 2020 17:22 MYT
ALOR SETAR: Penantian pemain untuk menerima tunggakan gaji akan berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berjanji melunaskan baki bayaran skuad Lang Merah sebelum 30 September ini.
Menurut Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, pembayaran tunggakan gaji selama tiga bulan itu melibatkan bayaran bagi April, Mei dan Jun manakala gaji Mac, Julai, Ogos dan September telah dijelaskan sebelum ini.
"Gaji setiap bulan kita kena bayar sebelum tujuh hari bulan bulan berikutnya... macam gaji bulan September, kita kena bayar sebelum 7 Oktober... tunggakan itu kita akan selesaikan," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 88 keluarga di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Kota Setar, pada Ahad.
Menurutnya dengan pembayaran itu, semua tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Kedah akan selesai sepenuhnya.
Sebelum ini, KFA menghadapi kemelut kewangan sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak selama empat bulan bermula Mac lalu.
Namun KFA komited untuk menyelesaikan tunggakan itu sebelum musim ini berakhir.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan KFA juga telah menghantar surat pemohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memohon lanjutan tempoh bagi melengkapkan proses pelesenan kelab yang sepatutnya dihantar pada 15 September lalu.