Kewibawaan pengadil Malaysia dapat pengiktirafan antarabangsa

Bernama
Disember 9, 2020 06:05 MYT
Menurut FAM, ketiga-tiga pengadil itu turut diberi 'tugasan tambahan' mengendalikan perlawanan tunggal Kumpulan E, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Qatar menentang Bangladesh di Doha pada 4 Dis lalu. - Facebook FAM
KUALA LUMPUR: Kewibawaan pegawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila tiga pengadil kebangsaan telah dipilih bertugas sepanjang saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Zon Timur yang berlangsung di Doha, Qatar sejak 19 Nov lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya semalam, berkata pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Amirul Izwan Yaacob dan Muhammad Nazmi Nasaruddin serta penolong pengadil FIFA Mohd Yusri Muhamad terlibat pada pertandingan bola sepak melibatkan kelab elit benua Asia itu.
Amirul, 34, bertindak sebagai pengadil bagi pertemuan Kumpulan E di antara wakil Australia, Melbourne Victory dan kelab Liga Super China, Beijing Guon pada 27 Nov, selain menjadi pegawai keempat untuk perlawanan lain.
Perlawanan berkenaan ialah Beijing Guon menentang wakil Korea Selatan, FC Seoul pada 21 Nov; Ulsan Hyundai berdepan Perth Glory dari Australia (24 Nov) serta aksi pusingan kedua di antara kelab Jepun, Yokohama F. Marinos dan Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan pada 1 Dis lalu.
Nazmi, 30, pula dipilih mengadili perlawanan Kumpulan F di antara wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan kelab Australia, Perth Glory pada 24 Nov, selain bertindak sebagai pegawai keempat pada dua lagi perlawanan iaitu pertemuan di antara Melbourne Victory dan Beijing Guon pada 27 Nov serta aksi melibatkan kelab Jepun, Yokohama F. Marinos menentang Jeonbuk Hyundai Motor dari Korea Selatan pada 1 Dis lalu.
Yusri, 41, pula bertugas sebagai penolong pengadil bagi empat perlawanan bermula dengan aksi di antara Beijing Guon dan FC Seoul pada 21 Nov, Ulsan Hyundai berdepan Perth Glory (24 Nov), Melbourne Victory dan Beijing Guon (27 Nov) serta aksi Yokohama F. Marinos menentang Suwon Samsung Bluewings pada 1 Dis.
Sumber Facebook FAMalaysiaOfficial
Menurut FAM, ketiga-tiga pengadil itu turut diberi 'tugasan tambahan' mengendalikan perlawanan tunggal Kumpulan E, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Qatar menentang Bangladesh di Doha pada 4 Dis lalu dengan Amirul bertindak sebagai pengadil, manakala Yusri sebagai penolong pengadil, dan Nazmi selaku pegawai keempat.
Bernama sebelum ini melaporkan FAM memilih empat pengadil tempatan untuk mengadili Liga Profesional Maldives musim 2020/2021, iaitu Liga Perdana Dhiraagu Dhivehi dari 8 Dis ini hingga 31 Jan tahun depan yang disertai lapan pasukan setelah mendapat jemputan daripada Persatuan Bola Sepak Maldives.
Empat pengadil tersebut ialah Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang juga pengadil FIFA serta Mohamad Faizudin Ismail, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi Supian dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.
-- BERNAMA
#FAM #pengadil #Mohd Yusri Muhamad #Amirul Izwan Yaacob #Muhammad Nazmi Nasaruddin #pengiktirafan #afc #Doha #Qatar #tugasan tambahan #perlawanan #kelayakan Piala Dunia 2022 #Piala Asia 2023 #Liga Juara-Juara AFC Zon Timur
;