Ketiadaan Messi punca Argentina kalah di tangan Bolivia
Astro Arena
Mac 29, 2017 12:17 MYT
Mac 29, 2017 12:17 MYT
Edgardo Bauza meratapi tempoh penggantungan Lionel Messi selepas masalah Argentina itu diburukkan lagi dengan kekalahan kepada Bolivia di Estadio Hernando Siles.
Dinamakan dalam kesebelasan Bauza awal pagi tadi, kapten dan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada hari kekalahan 2-0 Argentina dalam kelayakan Piala Dunia di Bolivia.
Messi terpaksa menonton dari luar selepas menghina seorang pegawai perlawanan dalam kemenangan ke atas Chile minggu lalu.
"Apa yang memeranjatkan kami adalah dalam masa yang singkat kami dikenakan tindakan undang-undang," kata Bauza.
"Ia pelik kerana FIFA memberikan anda kemungkinan untuk menyampaikan pendapat kepada sesiapa yang boleh dihukum. Bukan sahaja dia tidak bermain, tetapi kami tidak mempunyai masa untuk bekerja dengan pemain lain."
Bolivia mengambil kesempatan daripada ketiadaan Messi untuk menambah tekanan kepada Bauza.
Juan Carlos Arce dan Marcelo Martins meledak gawang Argentina, yang terkeluar daripada slot kelayakan automatik dalam CONMEBOL, turun ke tangga kelima selepas Chile meraih kemenangan di tempat sendiri menentang Venezuela.
Bagaimanapun, Bauza menegaskan dia akan terus berjuang kerana memandang ke hadapan untuk Russia 2018.
"Kami cuba mendahului Bolivia, pada separuh kedua pasukan bertambah baik sedikit," katanya.
"Bolivia menang juga. Kami perlu berfikir tentang apa yang akan datang, kami masih hidup dan berhasrat untuk layak ke Piala Dunia.
"Kami tahu ia akan menjadi satu perjuangan dan kami akan terus berjuang.
"Saya tidak diganggu oleh apa-apa, tiada siapa, atau apa yang mereka katakan. Perjuangan akan diteruskan."