Ketiadaan Endrick beri impak buat Harimau Malaya - Zainal Abidin
Bernama
Januari 12, 2024 21:51 MYT
Januari 12, 2024 21:51 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan kecederaan melanda tonggak tengah Harimau Malaya Endrick Dos Santos, memberi impak terhadap persiapan aksi pembukaan Piala Asia 2023 menentang Jordan pada 15 Januari ini.
Bagaimanapun, Zainal Abidin percaya pengendali pasukan Kim Pan Gon mempunyai strategi tersendiri terhadap Brendan Gan dan Muhammad Afiq Fazail, yang bakal mengisi kekosongan posisi tersebut.
Endrick, 29, dilaporkan mengalami kecederaan semasa latihan pasukan di Doha, Qatar sebelum aksi persahabatan bertemu Syria pada 9 Jan lepas, sekali gus menyaksikan beliau tidak diturunkan dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu.
"Inilah lumrah saya tak nafikan ini amat dirasai. Tetapi kita kena ada pelan A dan B. Kita tak boleh kata sudah kibar 'bendera putih' dan saya yakin Pan Gon tidak akan fokus kepada kesebelasan utama sahaja.
"Bila Endrick cedera beliau (Pan Gon) sudah tentu mempunyai pelan tersendiri untuk menjalankan tugas dalam sistem yang dia mahukan," katanya semasa menjadi tetamu dalam program 'Hayya Asia Qatar 2023' terbitan Bernama TV hari ini.
Namun, bekas pemain pasukan Selangor dan Pahang itu dalam masa sama, tidak menolak kemungkinan ia merupakan 'perang psikologi' oleh pengendali dari Korea Selatan itu terhadap pihak lawan.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan (16 Jan waktu Malaysia), diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007, tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini.
Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com.
-- BERNAMA