Ketelusan ISN akan bantu kembalikan reputasi, kata Chong Wei
Astro Arena
Januari 3, 2015 22:28 MYT
Januari 3, 2015 22:28 MYT
Luahan hati Datuk Lee Chong Wei pada hujung tahun 2014 bukan atas soal peribadi tetapi demi kepentingan integriti sukan negara.
Apa yang dipinta Chong Wei mudah, iaitu satu kenyataan rasmi daripada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz terhadap apa sebenarnya yang terjadi dalam proses pemulihan kecederaan dia sebelum aksi kejohanan dunia di Copenhagen Denmark tahun lalu.
Chong Wei berpandangan, ketelusan daripada ISN akan membantu dia mengembalikan reputasinya sebagai atlet yang sudah berkorban banyak demi negara untuk berada di puncak dunia dan bukan atas bantuan bahan terlarang.
Chong Wei juga menyentuh bagaimana dia bimbang legasinya sebagai bekas pemain nombor satu dunia daripada 2008 sehingga Disember 2014 akan dipersoal tanpa penjelasan sebenar daripada pihak bertanggungjawab.