Ketagihan alkohol: "Khuatir tabiat ini mampu membunuh saya" - Wayne Rooney
Hasimi Muhamad
Februari 10, 2022 12:09 MYT
Februari 10, 2022 12:09 MYT
SELEPAS sering terpalit dengan kontroversi mabuk, bekas bintang bola sepak England dan Manchester United, Wayne Rooney mendedahkan sisi gelap dan 'ketakutannya' akibat tabiat minum minuman keras.
Menerusi temu bual dalam program BBC Breakfast's Sally Nugent, bekas kapten England itu berkata dia bimbang jika masalah alkohol yang dialaminya mengundang kepada kematian diri dan orang lain.
Sebagai pemain bola sepak, Rooney menambah dia juga terpaksa 'menyimpan' banyak rahsia tentang kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini termasuk keadaannya yang bergelut dengan alkohol dan kesihatan mental.
"... (kesilapan lampau ...) boleh jadi perempuan, ia mungkin juga mabuk ketika memandu ... yang mana perkara itu boleh membunuh orang lain termasuk diri sendiri," jawab Rooney, secara jujur.
Berkongsi lanjut menjelang tayangan dokumentari nerjudul 'Rooney' pada 11 Februari (esok), pengurus Derby County itu turut mengakui bahawa dia perlu mengatasi tabiat buruknya itu demi menyelamatkan diri dan keluarga tercinta.
Bintang bola sepak yang pernah dilaporkan antara pemain yang menerima bayaran ketiga tertinggi di dunia selepas Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo itu menambah, sikap suka bergaduh dan minum alkohol juga telah menjejaskan kerjayanya ketika remaja.
Mengimbau kenangan sewaktu remaja, Rooney menggambarkan dia 'bukan seorang budak yang baik', dan mengakui terlibat dalam banyak insiden kekerasan.
"Kami pernah pergi ke Southport (England) dan sering bergaduh. Saya pulang dengan (bahagian) mata berjahit. Ketika itu saya berusia kira-kira 12 tahun," kongsinya.
Rooney menjelaskan, dia turut berdepan insiden yang memalukan ketika bersama pasukan Everton apabila dia terserempak dengan bekas jurulatihnya, Colin Harvey ketika mahu menyeberang jalan, dan beliau sedang memegang sebotol minuman keras.
Harvey, kata Rooney, terpaksa memberhentikan kenderaan untuk membenarkan dia menyeberang jalan.
"Keesokan hari, dia (Harvey) menarik saya keluar dari satu sesi latihan dan menasihati saya: "kamu memiliki bakat besar yang pernah saya lihat bagi seorang yang seusia kamu... Jangan sia-siakan ia."
Dalam temu bual sama, Rooney turut mengakui pengambilan minuman keras menyebabkan dia membuat keputusan yang tidak baik, dan terpaksa menanggung akibatnya.
Ketagihannya, kata bapa kepada empat cahaya mata itu, ia sesekali tidak melunturkan rasa cinta terhadap isterinya, Coleen Rooney.
Namun, Coleen, 35, bersetuju bahawa alkohol telah memberi kesan negatif pada masa-masa tertentu. Tambah beliau, meski pun berdepan pelbagai isu, dia dan Rooney akan berusaha mencari penyelesaian bersama-sama.