Keserasian mantap kini jadi keutamaan - Kim Swee
Astro Arena
September 5, 2016 23:50 MYT
September 5, 2016 23:50 MYT
JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya usah terlalu memikirkan kemenangan sebaliknya fokus membentuk keserasian mantap apabila berdepan Indonesia untuk aksi persahabatan antarabangsa Kelas A pada Selasa.
Kali terakhir skuad negara mencatat kemenangan adalah pada 22 Jun lalu iaitu ketika menewaskan New Caledonia 2-1.
Namun, sayangnya keputusan itu tidak dikira gara-gara isu pengadil.
Tampak dambakan kemenangan untuk menebus kehampaan itu, Kim Swee bagaimanapun enggan meletakkan tekanan di bahu pemain pada pertemuan menentang Skuad Garuda.
“Sudah tentu kami menginginkan kemenangan, tetapi perkara yang penting adalah untuk mencari keserasian di antara pemain senior dan pemain muda daripada perlawanan ini,” jelas Kim Swee.
Pemain negara bagaimanapun berdepan tugas berat untuk melunaskan misi itu memandangkan pertemuan pada Selasa dianggap aksi bersejarah Skuad Garuda.
Ia bakal menyaksikan perlawanan rasmi pertama Indonesia selepas mereka bebas daripada penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Kami sangat gembira dengan dapat kembali beraksi semula selepas hampir satu tahun setengah, banyak pertukaran telah dilakukan dan banyak cabaran yang dihadapi dalam membuat persiapan menjelang perlawanan ini,” kata Hans Peter Schaller, penolong jurulatih Indonesia.